GEORGE TOWN : Seorang pemilik kedai makan bertindak melarikan diri selepas menyedari premis perniagaannya diserbu oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, semalam.
Jurucakap JIM Pulau Pinang berkata, tindakan tersebut dipercayai dilakukan oleh pemilik kedai makan itu gara-gara pekerja asing yang digajikannya tidak memiliki pas serta permit yang sah.
Terdahulu katanya, lapan pekerja warga asing telah diperiksa dalam serbuan berkenaan dan kesemua mereka disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah untuk berada serta bekerja di negara ini.
“Kesemua tangkapan yang berumur antara 30 hingga 50 tahun itu terdiri daripada dua lelaki warga China, seorang lelaki Myanmar, empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia.
“Mereka ditahan kerana disyaki tidak memiliki pas yang sah selain melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sini, hari ini.
Jelas beliau, ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan dan JIM Pulau Pinang juga sedang menggiatkan usaha untuk mengesan majikan atau pemilik kedai yang melarikan diri itu yang dijangka berdepan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan.
Sementara itu, katanya, seorang lelaki Pakistan berumur 46 tahun yang disyaki bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah rumah ibadat yang terletak di Lebuh Faquhar turut diperiksa.
“Dia (suspek) didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan telah ditangkap kerana kerana disyaki tidak memiliki pas yang sah serta melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Ketika ini, kesemua tangkapan telah dibawa ke Depot Imigresen Juru untuk siasatan dan tindakan lanjut jabatan,” katanya.
Tambah beliau, JIM Pulau Pinang menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan warga asing yang melanggar undang-undang dan peraturan bagi membolehkan tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan.-UTUSAN










