PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) perlu mengerahkan jenteranya untuk membawa keluar sekurang-kurangnya 80 peratus pengundi Orang Asli di DUN Nenggiri untuk menawan kembali kerusi tersebut pada PRK Sabtu ini.
Pada masa sama, Perikatan Nasional (PN) pula perlu menyakinkan pengundi muda dan usia pertengahan untuk bersama mengundi calonnya, Mohd. Rizwadi Ismail bagi mencerahkan lagi peluang gabungan itu untuk mempertahankan kerusi tersebut.
Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, PRK DUN Nenggiri dilihat sebagai ‘medan perang’ sebenar kedua-dua parti bertanding apabila mengerahkan jentera masing-masing untuk menyakinkan pengundi turun mengundi Sabtu ini.
Katanya, melihatkan perkembangan itu, beliau menjangka peratusan keluar mengundi Sabtu ini dijangka mampu mencapai 65 peratus jika calon kedua-dua parti mampu menyakinkan pengundi.
“Dalam dua minggu tempoh berkempen, BN dan PN dilihat all-out termasuk bertemu pengundi dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Ini menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, BN kehilangan DUN Nenggiri disebabkan separuh daripada pengundi Orang Asli tidak turun mengundi namun PRK kali ini memberi kelebihan kepada parti itu kerana boleh memberikan sepenuh perhatian membawa golongan yang dianggap sebagai ‘deposit tetap’ mereka.
“Orang Asli ini mereka hanya kenal ‘dacing’ sahaja, jadi jika BN mampu membawa golongan ini ke pusat mengundi, kemungkinan untuk menang menjadi lebih besar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, PN mempunyai kelebihan sekiranya peratusan pengundi Melayu yang keluar mengundi tinggi.
Katanya, ini kerana, orang muda dan golongan usia pertengahan cenderung memilih PN berbanding BN yang mengharapkan undi saluran satu, dua dan tiga serta masyarakat Orang Asli.
“Secara amnya, pengundi di Nenggiri terdiri daripada 90 peratus orang Melayu dan 10 peratus Orang Asli. Jika peratus mengundi rendah, ia memberi kelebihan kepada BN kerana mereka menguasai peti undi saluran satu, dua dan tiga.
“Sekiranya jumlah pengundi Melayu keluar tinggi, keadaan berbeza akan berlaku dan ia memberi kelebihan kepada PN,” katanya.
PRK DUN Nenggiri membabitkan 20,259 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon PN, Mohd. Rizwadi.
Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd. Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada PRN Kelantan Ogos tahun lalu, calon BN, Ab. Aziz Yusoff tewas kepada Mohd. Azizi yang bertanding di bawah tiket PAS mewakili PN dengan majoriti 810 undi. – UTUSAN










