PRK Nenggiri: Orang Asli protes kenaikan harga barang

PRK Nenggiri: Kibar bendera Pas dan buka pos, Orang Asli protes kenaikan harga barang

MOHD. Nassuruddin Daud (tiga dari kanan) semasa melancarkan Tawaran PN Untuk PRK Nenggiri di Markas Pas Renok Baru, Gua Musang, Kelantan, semalam. – UTUSAN/ AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Tindakan ma­syarakat Orang Asli mengibarkan bendera Pas dan membuka pos parti itu merupakan salah satu bentuk memprotes kenaikan harga barangan di kawasan penempatan mereka.

Timbalan Pesuruhjaya Pas, Datuk Mohd. Nasuruddin Daud berkata, tindakan itu merupakan satu bentuk kesedaran baru masyarakat berkenaan yang berada di pedalaman.

Menurut beliau, sebelum ini Pas tidak menembusi kawasan penempatan masyarakat Orang Asli namun situasi itu sudah mulai berubah.

“Orang Asli pun faham (kenaikan harga barang), kita lagilah kita faham. Sebab itulah kita tengok dalam pilihan raya lalu, rakyat bagi sokongan kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN),” katanya semasa berucap selepas merasmikan Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri di Markas Pas Renok Baru, di sini malam semalam.

Mengulas lanjut Mohd. Nasu­ruddin yang juga Menteri Besar Kelantan memberitahu, rungutan itu disebabkan jarak Gua Musang masuk ke kampung mereka terlalu jauh menjadikan harga barangan lebih mahal ditambah pula dengan kenaikan diesel.

Beliau pada masa sama turut mempersoalkan suara pemimpin UMNO dalam membela nasib rakyat di kawasan pedalaman ketika kenaikan harga diesel.

“Walaupun berada dalam kerajaan UMNO dilihat tidak bersuara dalam perkara ini.

“Jadi bila harga minyak naik tentulah harga barang naik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN