PRK Nenggiri: BN Perak tumpu PDM Orang Asli - Utusan Malaysia

PRK Nenggiri: BN Perak tumpu PDM Orang Asli

SAARANI Mohamad berucap pada majlis penyerahan bendera Kontinjen SUKMA negeri Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kawasan orang Asli merupakan antara lokasi tumpuan oleh jentera Barisan Nasional (BN) Perak dalam usaha membantu parti itu merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sudah seminggu mereka berada di DUN berkenaan dengan tertumpu di pusat daerah mengundi (PDM) Sungai Puian dan Pos Simpor yang merupakan kawasan Orang Asli.

Selain itu, BN Perak turut berkempen di PDM Sungai Asap merupakan kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

“Seminggu dah pergi. Kita jaga dua PDM Orang Asli, satu PDM Kesedar. Untuk kawasan Orang Asli, kita menghantar Orang Asli. Ada dua pasukan Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera kontinjen Perak untuk Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 di sini hari ini.

PRK Nenggiri menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani menentang wakil Perikatan Nasional (PN), Mohd. Rizwadi Ismail dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos ini sebagai hari pengundian.

Jelas Saarani, di kawasan PDM Orang Asli, pihaknya mengambil pendekatan dari rumah ke rumah yang digerakkan oleh Orang Asli.

Mengikut maklumat yang dikongsikan kepada pemberita, dari Perak seramai 55 orang dihantar bagi membantu jentera kempen termasuk 13 Orang Asli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN