KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) memberi jaminan tidak akan memboikot calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak lama lagi.
Timbalan Presidennya, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya berpegang kepada keputusan yang telah dibuat, sambil menegaskan Amanah komited untuk membantu calon BN sehingga memperoleh kemenangan seperti di beberapa siri PRK sebelum ini.
“Tidak timbul lagi isu boikot atau tidak pada calon Kerajaan Perpaduan di DUN Mahkota. Keputusan sudah dibuat. Kita berpegang pada keputusan yang dibuat dengan meletakkan BN calon di situ.
MUKTAMAD
“Keputusan itu sudah muktamad, jadi kita perlu terus berkempen di kawasan tersebut, lagipun kerja-kerja Amanah sudah dijalankan dari dulu lagi di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Sebelum ini, tercetus ‘perang dingin’ antara UMNO dan Amanah kerana merebut kerusi DUN Mahkota dengan Amanah Kluang mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding di situ.
Ketua Amanah Kluang, Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain dilaporkan berkata, parti itu pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.
Namun, kenyataan itu diselar Pemuda UMNO Johor dengan menyifatkan tindakan Amanah menuntut kerusi tersebut sebagai gelojoh dan tamak.
Bagaimanapun, perang dingin itu tamat selepas mesyuarat tertinggi Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan bahawa calon BN akan bertanding di situ.
GERAK KERJA
Mengulas lanjut, Mujahid turut berkata, pihaknya menunggu arahan BN untuk memulakan gerak kerja pada PRK tersebut.
“Kita sebenarnya sudah buat kerja lama di kawasan itu. Apa pun, kita tunggu arahan BN untuk strategi yang berikutnya sebab BN yang akan menentukan strategi memandangkan calon adalah calon mereka.
“Kita di sini akan terus beri sokongan, pastinya sama dengan sokongan yang kita berikan di tempat lain seperti di Pelangai, Nenggiri dan Kuala Kubu Bharu. Kita akan bagi yang terbaik bagi memastikan calon Kerajaan Perpaduan menang,” ujarnya lagi. – UTUSAN










