JOHOR BAHRU: Seorang wanita menyamar sebagai hantu untuk menakutkan pemandu kenderaan di Jalan Austin Heights Utama ditangkap polis, semalam iaitu selepas tiga minggu polis menjalankan operasi di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya melakukan operasi tiga minggu sebelum menahan wanita berusia 31 tahun itu.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati wanita gelandangan itu mempunyai rekod kesihatan mental iaitu kemurungan pada tahun 2022 dan 2023.
“Pada 27 Julai lalu, kita kesan video tular memaparkan seorang wanita menyamar hantu dan menyergah kenderaan awam pada waktu malam di laluan berkenaan.
“Susulan itu, polis lakukan operasi. Beberapa operasi gagal mengesan hantu itu namun anggota operasi memaklumkan mendengar bunyi mengilai-gilai sepanjang operasi.
“Selepas tiga minggu, wanita itu berjaya ditahan pada pukul 10.51 malam, semalam,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.
Kata Raub, siasatan mendapati modus operandi wanita itu ialah menyergah kenderaan awam dan sekiranya berlaku pelanggaran, wanita itu akan mengugut pemandu untuk ganti rugi.
“Semakan lampau mendapati wanita itu mempunyai satu rekod jenayah, manakala ujian urin menunjukkan dia negatif penyalahgunaan dadah.
“Wanita itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pagi tadi bagi tujuan pemeriksaan kesihatan dan polis sedang menunggu laporan selesai,” katanya.
Sementara itu, Raub turut meminta kerjasama orang ramai yang pernah menjadi mangsa ‘hantu’ tersebut untuk membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
“Setakat ini kami belum terima laporan polis berhubung kejadian tersebut,” katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan; Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan juga Peruntukan 23 Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959.
Baru-baru ini tular rakaman video menunjukkan seorang wanita berpakaian hitam yang menyergah pengguna jalan raya di Jalan Austin Heights Utama, di sini pada waktu malam.- UTUSAN











