Polis sedang lengkapkan siasatan kes samun rumah warga asing 

Polis sedang lengkapkan siasatan kes samun rumah warga asing 

Zayn Rayyan
Datuk Hussein Omar Khan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes samun kediaman warga asing di Semenyih, Kajang dekat sini membabitkan empat individu termasuk tiga anggota polis pada 31 Julai lalu. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keempat-empat suspek kini disambung reman kali kedua selama tujuh hari untuk siasatan lanjut. 

“Kita sedang lengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut. 

“Kita juga memburu seorang lagi suspek yang juga orang awam dipercayai terlibat dengan kes tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. 

Pada 1 Ogos lalu, media melaporkan dua anggota polis yang bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA), ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian samun ke atas sebuah rumah didiami warga asing Myanmar di Semenyih.

Kedua-dua suspek dipercayai antara sekumpulan lelaki yang menyamun kediaman mangsa di Jalan Sungai Pening, Kamping Pasir, Semenyih, Kajang, sekitar pada 12.17 tengah malam, Isnin lalu.

Hussein dilaporkan berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD Kajang) melakukan tangkapan terhadap dua anggota polis berusia 32 dan 35 tahun di Batalion 19, PGA, Cheras.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 7 Ogos ini.

“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 3, Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan jika disabit kesalahan boleh dihukum mati,” katanya.

Selain itu, Hussein dilaporkan berkata, dua lagi suspek termasuk seorang anggota direman pada 2 hingga 8 Ogos lalu bagi siasatan lanjut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN