JOHOR BAHRU: Polis masih menjalankan siasatan motif sebenar pembunuhan pasangan suami isteri warga emas dan cucu mereka di Kampung Paya Redan di Pagoh, Jumaat lalu.
Justeru, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak tepat tentang kejadian berkenaan.
Malah, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan api dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kumar berkata, suspek yang juga ahli keluarga mangsa dan masih bujang itu ditahan ketika merayau-rayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada pukul 1.13 pagi tadi.
Suspek dikatakan melarikan diri dengan meninggalkan motosikal yang ditungganginya di Hentian Bas Bentayan, Muar sebelum menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di ibu kota.
Dalam kejadian awal pagi Jumaat lalu, pasangan warga emas, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76, serta cucu mereka, Noradriana Nor Hisyam, 11 tahun maut selepas rumah mereka hangus dijilat api.
Pasangan warga emas itu maut di lokasi kejadian, manakala cucu mereka meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.
Seorang lagi cucu perempuan mangsa yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan masih dirawat di HPSF. – UTUSAN










