PM umum dana asas pelaburan Celik Madani RM50 juta - Utusan Malaysia

PM umum dana asas pelaburan Celik Madani RM50 juta

Celik Madani
ANWAR Ibrahim berucap pada perasmian MSAM di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahasiswa baharu mendaftar di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) akan diberikan dana asas pelaburan menerusi program Celik Madani: Celik Kewangan Belia Madani sebanyak RM50 pada tahun ini bagi menggalakkan golongan belia melabur dan mempunyai komitmen ke arah itu.

Dana asas sebanyak RM50 juta sebahagiannya disuntik oleh kerajaan dan baki akan ditaja oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan syarikat-syarikat berkaitan dengan sasaran awal mahasiswa seramai 200,000 orang.

Berdasarkan mekanisme tersebut, RM50 akan dikreditkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) dan nilai itu akan dikunci bagi tempoh lima tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, angka tersebut adalah praktikal bagi memastikan golongan belia mula melabur selain menggalakkan mahasiswa atau ibu bapa menambah simpanan dalam tempoh tersebut.

“Itu disebutkan kecelikan kewangan, pelaburan kerana kadang-kadang kita anggap remeh hal-hal demikian, mustahil kalau dimasukkan RM50 kita tak boleh jadi jalan dalam beberapa bulan untuk masukkan RM50.

“Mudah-mudahan dengan simpanan tambahan daripada dana asas itu, boleh kita galakkan kefahaman tentang apa erti pelaburan dan jaminan masa depan.

“Dana awal yang disediakan oleh PNB dan syarikat-syarikat berkaitan adalah RM50 juta dan kita harap seluruh anak-anak yang hadir kempen sekali lagi dengan kawan-kawan kerana sasaran kita untuk pelajar 200,000 orang setahun,” katanya dalam ucapan perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024, hari ini.

Tambahnya, program tersebut adalah cetusan idea warga PNB dan disaran untuk dikembangkan kepada mahasiswa politeknik dan kolej vokasional. Ia juga disasarkan kepada 1 juta siswa IPTA.

Inisiatif itu dibangunkan bagi meningkatkan celik kewangan dalam kalangan mahasiswa dengan objektif memasikan mereka mempunyai platform untuk melabur, galakan mula melabur pada usia muda sebelum memulakan pekerjaan dan melengkapkan diri dengan pengetahuan dan alat kewangan.

Anwar menjelaskan, pengurusan universiti juga seharusnya memudahkan pelaksanaan program tersebut supaya ia dapat menepati sasaran dalam usaha menggalakkan golongan belia celik pelaburan dan melabur.

“Kita kadang-kadang kita umum tetapi pelaksanaannya itu banyak, leceh sebab itu bila saya umum kenaikan gaji penjawat awam baru-baru ini, saya terus beri amaran hari ini umum (Jumaat), Isnin kalau lembab macam dulu juga saya tarik balik peruntukan itu.

“Tetapi, syukur kerana kita pantau setiap hari memang ada satu sikap baharu dan budaya yang lebih baik dalam kalangan penjawat awam dan saya ucapkan tahniah dan insya-Allah wang akan disalurkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar meminta PNB membantu sektor pendidikan di negara ini untuk membantu melahirkan lebih ramai jurutera dan individu berkemahiran dalam kemahiran TVET lebih spesifik bagi memenuhi permintaan pelaburan dalam negara.

“Kita ada masalah kerana sekarang STEM tak cukup. Yang ambil sains dan matematik berkurangan dan semua yang lulus tidak ada tempat, tetapi kita perlu 50,000 60,000 jurutera.

“Jadi saya harap PNB juga akan beri perhatian kerana salah satu jentera boleh memikirkan bagaimana dapat diadakan sinergi dengan syarikat-syarikat begitu dan bentuk latihan yang mereka lakukan kerana kita tidak ada pilihan, negara mendapat tarikan pelaburan lebih meningkat sekarang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN