PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) dan Storegga menjalinkan kerjasama untuk menilai keupayaan penyimpanan pelepasan karbon di lembangan Penyu, luar pesisir Semenanjung Malaysia.
Menurut kenyataan bersamanya, ketiga-tiga syarikat menandatangani perjanjian kajian dan pembangunan bersama (JSDA) untuk menilai keupayaan penyimpanan pelepasan karbon dioksida (CO2) dalam akuifer salin dan pembinaan kemudahan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di lembangan tersebut.
Perjanjian itu menyasarkan kapasiti penangkapan dan penyimpanan CO2 sekurang-kurangnya lima juta tan setahun (mtpa) menjelang 2030.
Ini merangkumi kajian penghantaran dan logistik CO2, pemodelan geofizik dan geomekanik, simulasi takungan dan penyelidikan pengekangan sambil meneroka aplikasi teknologi canggih, termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas CCS Solutions Sdn. Bhd., Nora’in Md. Salleh berkata, perjanjian itu berpotensi membolehkan mereka membina keupayaan membangunkan dan mengurangkan risiko akuifer salin.
“Ia bertujuan sebagai tapak penyimpanan karbon dioksida dengan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman rakan kongsinya di wilayah lain.
“Perkongsian strategik ini selaras dengan matlamat menyeluruh Petronas menubuhkan Malaysia sebagai hab CCS serantau untuk Asia Pasifik, di mana ia mungkin membina kapasiti penyimpanan melalui akuifer salin.
“Ini juga menunjukkan kesungguhan kami dalam menetapkan kadar yang tepat untuk menyampaikan hab CCS di sini sambil turut menyumbang kepada sasaran iklim negara,” katanya.
Petronas adalah ahli Jawatankuasa Pelan Peralihan Tenaga Kebangsaan Malaysia (NETR), yang telah mengenal pasti CCS sebagai salah satu daripada enam pengungkit peralihan tenaga untuk membolehkan negara menjadi mampan, rendah karbon dan berdaya tahan.-UTUSAN










