Pesara MBKT dituduh pecah amanah, palsu dokumen - Utusan Malaysia

Pesara MBKT dituduh pecah amanah, palsu dokumen

JAFRI Wahab (tengah) yang didakwa atas 13 tuduhan pecah amanah dan memalsukan dokumen dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) didakwa atas 13 tuduhan pecah amanah dan memalsukan dokumen, empat tahun lalu.

Jafri Wahab, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah hari ini dan memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd. Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, Jafri didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang RM29,200 milik tabung sebuah kesatuan pekerja untuk kegunaan peribadi.

Tertuduh ketika itu memegang jawatan bendahari Kesatuan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) Cawangan Terengganu.

Tertuduh melalukan kesalahan itu sejak 15 Januari sehingga 23 Julai 2020 di sebuah bank dan didakwa dengan 11 pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan (KK).

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, sebatan dan denda.

Jafri juga didakwa menggunakan sebagai tulen suatu dokumen iaitu penyata akaun bank kesatuan itu yang dia mempunyai sebab untuk mempercayainya adalah palsu.

Tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MBKT didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat MBKT pada 28 Jun 2020.

Tertuduh berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 471 KK itu dan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diikat jamin RM13,000 selain tidak dibenarkan menganggu saksi, menyerahkan passport kepada mahkamah dan melapor diri ke Pejabat SPRM setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Asaari Salleh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN