KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan RM14 juta untuk diagihkan kepada asnaf dan fakir miskin, tahun ini.
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata, jumlah itu melibatkan sumbangan kepada lebih 20,000 ketua isi rumah (KIR) termasuk golongan ibu tunggal.
Menurut beliau, agihan dibuat menerusi dua fasa dengan fasa pertama membabitkan peruntukan RM10.2 juta kepada 18,761 KIR dan disalurkan terus ke akaun penerima.
“Jumlah bantuan diterima ada tiga kategori iaitu RM300, RM500 dan RM700 bergantung bilangan anak antara seorang sehingga empat orang dan ke atas.
“MAIDAM agihkan RM10.2j dahulu manakala RM3.2j lagi akan diberi pada fasa kedua dan ini adalah salah satu kaedah agihan wang zakat selain skim bantuan sedia ada.
“Sehingga 18 Ogos iaitu semalam, kutipan zakat yang telah berjaya dikutip melebihi RM163.8j manakala yang diagihkan lebih RM210.5j,” katanya.
Shaikh Harun berkata demikian selepas program Konvoi Agihan Hak Asnaf Fakir Miskin (KAHA) di Masjid Al-Muttaqin, Kampung Kepong di sini, hari ini.
Dalam pada itu menurut beliau, MAIDAM juga telah berjaya mengutip RM334,269.15 wakaf tunai sehingga 18 Ogos.
Katanya, jumlah itu merangkumi wakaf tunai am sebanyak RM286,301.84, wakaf hemodialisis berjumlah RM24,299 dan wakaf perkuburan sebanyak RM23,118.31.
“Selain itu, sejumlah RM134,800 daripada bahagian wakaf tunai am telah dibelanjakan bagi tujuan pendidikan, agama dan sosial kepada penerima yang layak,” jelasnya. – UTUSAN










