IPOH: Kerajaan negeri memantau perkembangan terkini keadaan pelajar negeri ini di United Kingdom (UK) susulan protes yang sedang berlaku di beberapa kawasan di negara itu ekoran satu kejadian tikaman di Southport pada 29 Julai lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat mengenai keadaan pelajar negeri ini yang berada di UK daripada Wisma Putra dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.
Katanya, kerajaan negeri berharap pelajar dari Perak yang berada di UK sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada Pejabat Kedutaan Malaysia di London supaya sebarang tindakan dan pergerakan mereka dapat dipantau oleh Wisma Putra.
“Pemantauan pergerakan mereka penting agar keselamatan para pelajar dan masyarakat di sana dalam keadaan terkawal.
“Kita dapati keadaan di sana terkawal. Kita mengharapkan Wisma Putra sentiasa memantau keselamatan pelajar termasuk dari Perak supaya kita dapat pastikan mereka dalam keadaan selamat dan boleh meneruskan pengajian,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada penyampaian sijil Anugerah Pelajar Cemerlang dan hadiah pemenang ‘JomPay dan Menang’ Pinjaman Pengajian Tinggi di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Menurutnya, para pelajar negeri ini di negara itu perlu kena sentiasa peka terhadap pengumuman atau maklumat terkini daripada kedutaan Malaysia di negara itu.
“Ini supaya apa juga masalah dan tindakan dapat dipantau oleh pihak Kedutaan untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Semalam, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan rakyat Malaysia yang menetap atau berkunjung ke United Kingdom dinasihatkan menjauhi kawasan terlibat susulan siri protes yang sedang berlaku di beberapa kawasan di negara itu ekoran kejadian tikaman di Southport pada 29 Julai lalu.
Mereka juga dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan pihak berkuasa tempatan. – UTUSAN










