Peniaga OKU raih pendapatan RM2,500

Peniaga OKU raih pendapatan RM2,500

MUHAMMAD Akhir Abdul Aziz menjaja pelbagai barangan makanan di atas motosikal roda tiga miliknya di Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang cacat fizikal mampu meraih pendapatan RM2,500 sebulan hasil berniaga barang runcit menggunakan motosikal roda tiga sejak pertengahan Mac lalu.

Muhammad Akhir Abdul Aziz, 40, berkata, dia menghidap penyakit hidrosefalus (lebihan air dalam otak) yang menyebabkan saiz kepalanya lebih besar berbanding orang normal sejak lahir.

Menurutnya, dia telah menjalani pembedahan lebih tiga kali sejak usianya sembilan bulan dengan pembedahan kali terakhir dilakukan ketika usianya 10 tahun.

“Sejak itu, ada perubahan positif terhadap kesihatan saya namun saya masih tidak mampu lagi bekerja seperti orang lain.

“Alhamdulillah, saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan, namun saya lebih selesa untuk  berniaga mencari pendapatan sampingan untuk menyara hidup sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Sungai Rengas, di sini,  semalam.

Muhammad Akhir menjual pelbagai barangan seperti air minuman, makanan dan permainan kanak-kanak di sekitar Sungai Rengas dan Pengadang Baru.

Tambahnya, antara kelebihan berniaga barang runcit dengan motosikal roda tiga itu ialah dapat memudahkan kanak-kanak membeli barangan dengan lebih selamat tanpa keluar jauh dari rumah.

“Ramai ibu bapa akan hubungi saya jika ada barangan keperluan yang anak mereka mahukan tanpa bimbang keselamatan mereka.

“Alhamdulillah, perniagaan kecil-kecilan ini mendapat kepercayaan daripada komuniti setempat dan dapat membantu saya berdikari walaupun berstatus OKU,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN