Pengundi DUN Nenggiri kembali sokong BN

Pengundi DUN Nenggiri kembali sokong BN

Bazlan Abd. Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: UMNO Terengganu mendapati pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kembali memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada 17 Ogos ini.

Penolong Setiausaha UMNO Terengganu, Bazlan Abd. Rahman berkata, pihaknya melihat perubahan sikap pengundi itu ketika berkempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Renok dan Perasu selepas hari penamaan calon, 3 Ogos lalu.

Katanya, pengundi di kedua-dua PDM itu didapati kembali memberi sokongan kepada BN selepas kepemimpinan Kerajaan Perpaduan lebih memberi perhatian terhadap kepentingan rakyat terutama di luar bandar.

“Kedua-dua PDM tersebut selama ini adalah kubu UMNO, namun tewas dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu. Insya-Allah akan dirampas semula dalam PRK nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

PDM Renok terletak dalam kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) manakala PDM Perasu dalam kawasan Felda di Perasu.

Bazlan berkata, UMNO Terengganu yang ditugaskan menggempur PDM tersebut telah menggerakkan jentera melibatkan Pemuda dan Wanita pergerakan itu.

“Penduduk di PDM tersebut menerima baik kehadiran UMNO Terengganu berkempen di kawasan ini, malah memberi kerjasama sepanjang kempen PRK ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN