KEMAMAN: Gara-gara meminjamkan wang kepada rakan wanita dan bimbang dimarahi isterinya kerana kehabisan duit gaji, seorang pengawal keselamatan di Teluk Kalong, dekat sini, sanggup membuat laporan polis palsu kononnya dia disamun dua lelaki bersenjata, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, bagaimanapun temberang lelaki warga emas berusia 65 tahun itu terbongkar apabila dia sendiri mengaku kejadian yang didakwanya itu sebenarnya tidak pernah berlaku.
“Pada awalnya, pengawal keselamatan yang bekerja di sebuah syarikat di kawasan Perindustrian Teluk Kalong itu membuat laporan polis kira-kira pukul 8 pagi semalam di Balai Polis Chukai.
“Lelaki itu mendakwa, sebelum kejadian dia yang baru habis bekerja kira-kira pukul 7 pagi, telah pergi ke sebuah stesen minyak di Kijal untuk mengeluarkan wang sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumahnya di Teluk Kalong,” katanya ketika dihubungi sini, hari ini.
Menurutnya, lelaki itu mendakwa sebaik tiba di kawasan Perindustrian Teluk Kalong,
seorang lelaki warga asing telah menahan kenderaannya dan meminta bantuan untuk membawa kawannya yang sedang terbaring ke klinik.
“Ketika dia mahu melihat rakan lelaki itu, lelaki yang menahan keretanya telah mengacukan pisau di belakangnya manakala lelaki yang terbaring pula mengacukan sebilah parang di perut warga emas itu.
“Dia mendakwa, salah seorang lelaki warga asing itu kemudiannya mengambil duit berjumlah RM1,100 yang berada dalam poket seluarnya sebelum mereka melarikan diri dengan motosikal,” katanya.
Hanyan berkata, bagaimanapun, selepas disoal siasat polis, warga emas itu akhirnya mengaku kejadian samun tersebut tidak berlaku dan dia membuat laporan palsu kerana terdesak serta bimbang dimarahi isterinya berikutan duit gajinya termasuk wang nafkah isterinya telah habis digunakan.
“Lelaki itu memberitahu wang gajinya telah dipinjamkan kepada rakan wanitanya yang baru dikenalinya sejak tiga tahun lalu.
“Hasil semakan, pengadu tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu,” katanya. – UTUSAN










