Pengasuh taska perlu dihantar ikuti kursus kemahiran tingkat kompetensi pendidikan - Utusan Malaysia

Pengasuh taska perlu dihantar ikuti kursus kemahiran tingkat kompetensi pendidikan

NORAINI Ahmad, (tengah) bergambar bersama peserta pada Majlis Perasmian Penutup Hari Taska dan Hari Pengasuh Kebangsaan 2024 dI Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Semua pengusaha taska di negara ini digalakkan menghantar pengasuh mereka mengikuti kursus kemahiran susulan untuk meningkatkan kompetensi pendidikan dan latihan yang lebih sempurna pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kursus dan latihan susulan itu penting memandangkan corak pendidikan awal kanak-kanak telah berubah mengikut zaman.

“Kursus tersebut diperlukan kerana cabaran pendidikan dan asuhan kanak-kanak tidak lagi sama seperti dulu.

“Cabarannya juga adalah lain dan perlu mengikut pendekatan yang berbeza (kemajuan teknologi serta perubahan sosial) agar sesuai dengan asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak di setiap taska,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Taska dan Hari Pengasuh Kebangsaan 2024 yang disertai 500 pengasuh dari seluruh negara di Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Noraini memberitahu, ketika ini terdapat 1,167 pengasuh yang bekerja di 3,043 taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara melibatkan penjagaan seramai 70,340 kanak-kanak.

Terdahulu, dalam ucapannya, Noraini menegaskan penggunaan kaedah pengajaran yang berkesan dan inovatif sentiasa diambil berat oleh kerajaan bagi memastikan kanak-kanak mendapat pengalaman pembelajaran yang terbaik.

Beliau berkata, Dasar Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak adalah satu inisiatif penting yang digubal oleh kerajaan untuk memastikan kanak-kanak berumur bawah enam tahun mendapat pendidikan dan asuhan yang berkualiti tinggi.

“Dasar ini juga menekankan peningkatan kompetensi pengasuh dan pendidik melalui pelbagai latihan dan kursus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN