PETALING JAYA: Pengarah, Shuhaimi Lua, mendedahkan hidup dalam keresahan selain berasa seperti ‘diekori’ selepas menjalani penggambaran sebuah filem seram komedi.
Menurut Shuhaimi atau Shuhaimi Lua Abdullah, 49, semasa penggambaran di Taman Botani, dia dan beberapa orang kru terdengar bunyi aneh dari arah hutan.
“Selepas lakukan penggambaran filem Pontianak 200kg, hidup saya jadi tidak tenteram. Jika mahu tidur rasa terganggu. Saya jadi gelisah, sedih dan tidak tahu nak buat apa.
“Sebenarnya ada gangguan di set. Waktu itu saya bersama pekerja pelatih duduk di konti. Belakang kami memang hutan. Tiba-tiba kami dengar bunyi sesuatu bergerak-gerak.
“Saya minta budak prop campak mercun untuk halau binatang buas. Selalunya bila sudah bakar mercun, bunyi haiwan ini akan hilang. Tapi waktu itu, bunyi tersebut datang semula banyak kali.
“Malam itu bukan saya seorang sahaja rasa aneh, kru lain juga sama. Macam ada yang datang ‘jenguk’ kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Gusar dengan keadaan itu, Shuhaimi bakal mengikuti nasihat sahabat terdekat berjumpa ustaz untuk mendapatkan rawatan.
“Ini pertama kali saya lalui sesuatu seperti ini. Sebelum ini saya pernah arahkan naskhah lebih berat tapi semuanya lancar sahaja.
“Buat masa ini saya cuma lakukan solat hajat. Cuma semakin lama, saya rasa ada keperluan untuk berjumpa ustaz di pusat perubatan tradisional bagi mendapatkan rawatan.
“Semakin dekat dengan tarikh tayangan, semakin saya rasa tidak sedap hati dan kerap terkejut,” katanya.
Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram, Shuhaimi mengatakan sering dilanda perasaan gelisah dan sayu menyebabkannya sukar untuk tidur.
Filem Pontianak 200kg mula menjalani penggambaran sejak Januari lalu dna bakal menemui penonton pada 5 September ini. -UTUSAN










