Penerbangan lewat lima jam, syarikat penerbangan kena bayar balik kepada pengguna Penerbangan lewat lima jam, syarikat penerbangan kena bayar balik kepada pengguna

Penerbangan lewat lima jam, syarikat penerbangan kena bayar balik kepada pengguna

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua syarikat penerbangan kini dikehendaki menawarkan pilihan bayaran balik kepada pengguna dalam cara pembayaran asal bagi kelewatan penerbangan selama lima jam dan lebih.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu  antara pilihan baharu untuk pengguna yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka.

Kata beliau, ia adalah susulan daripada penambahbaikan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang memberi perlindungan lebih baik bagi pengguna penerbangan. 

Katanya, penambahbaikan MACPC tersebut bakal diwartakan bermula 2 September ini.

“Ini bermaksud kalau ada kelewatan lebih daripada lima jam dan mungkin penumpang itu memilih untuk ambil penerbangan yang lain, dia boleh dapat bayaran balik daripada syarikat penerbangan. 

“Itu merupakan penambahbaikan yang baik untuk pengguna kerana sebelum ini tiada peruntukan tersebut, syarikat penerbangan hanya perlu membekalkan makanan dan sebagainya. 

“Jika penumpang ada alternatif penerbangan yang lain, dia kena beli tiket baharu dan tiket yang sedia ada itu akan ‘burn’ kalau dia tak ambil penerbangan itu, tetapi dengan penambahbaikan ini mereka boleh dapat bayaran balik untuk penerbangan asal mereka sekiranya melebihi lima jam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Anthony Loke berkata, pengguna menerima bayaran balik secara penuh daripada syarikat penerbangan dalam tempoh masa 30 hari.

Sementara itu, katanya, untuk gangguan penerbangan yang disebabkan oleh keadaan luar biasa misalnya seperti bencana, syarikat penerbangan dikehendaki terlebih dahulu menawarkan bayaran balik dalam mod bayaran asal. 

Katanya, syarikat penerbangan juga boleh menawarkan mod bayaran balik alternatif seperti baucar perjalanan atau credit shell, namun pengguna mempunyai hak untuk memilih mod bayaran balik yang mereka kehendaki.

“Bayaran balik mandatori surcaj bahan api, cukai, fi dan caj seperti levi pelepasan, Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC), fi karbon dan lain-lain terpakai untuk tiket yang mempunyai nilai bayaran balik dan tiket yang tidak mempunyai nilai bayaran balik bagi penerbangan yang tidak diambil oleh pengguna.

“Semua penerbangan yang dibatalkan mesti dikeluarkan daripada semua sistem penempahan, termasuk platform ejen pelancongan dalam talian dan luar talian. Ini adalah untuk melindungi pengguna supaya tidak membeli tiket penerbangan yang telah dibatalkan,” ujarnya.

Selain itu, katanya, sebarang perubahan dalam Waktu Perlepasan yang Dijadualkan (STD) mesti dimaklumkan kepada pengguna sekurang-kurangnya dua minggu sebelum waktu pelepasan sebenar, melainkan ia disebabkan oleh hal keadaan luar biasa atau masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan dan peruntukan tersebut akan mula berkuat kuasa pada Januari 2025.

Tambah beliau, sebarang ‘denied boarding’ kerana tempahan penerbangan berlebihan perlu dimaklumkan kepada pengguna di kaunter daftar masuk atau di pintu berlepas dan menafikan pengguna yang telah menaiki pesawat juga adalah dilarang.

“Had masa untuk pengguna mengemukakan aduan kini dilanjutkan daripada setahun kepada dua tahun,” katanya.

Justeru, katanya, dengan penambahbaikan MACPC, pengguna penerbangan boleh mendapat jaminan perlindungan yang dipertingkatkan untuk perjalanan udara dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) juga akan meneruskan pengawasan terhadap prestasi syarikat penerbangan untuk memastikan pematuhan pada penanda aras industri yang telah ditetapkan bagi manfaat pengguna.

“Kegagalan untuk mematuhi MACPC boleh dikenakan penalti kewangan maksimum sebanyak RM200,000 dan dalam kes ketidakpatuhan kedua atau seterusnya, jumlah 10 kali ganda daripada penalti kewangan pertama akan dikenakan,” katanya.Maklumat lanjut mengenai penambahbaikan MACPC dan hak perjalanan udara pengguna boleh didapati di www.mavcom.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN