Pemilihan DAP : Kon Yeow masih berteka-teki

Pemilihan DAP : Kon Yeow masih berteka-teki

CHOW Kon Yeow (kanan) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Food Bayana di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow masih lagi berteka-teki sama ada mahu bertanding atau tidak pada pemilihan Jawatankuasa DAP negeri yang akan berlangsung bulan depan.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, buat masa ini, beliau sendiri tidak mengetahui sama ada namanya dicalonkan oleh cawangan untuk bertanding atau tidak.

Ini kerana, kata beliau, sistem pemilihan DAP memerlukan sekurang-kurangnya dua cawangan DAP memilih namanya sebelum disahkan layak untuk bertanding.

“Soalan untuk bertanding atau tidak, itulah yang perlu ditunggu sedikit masa lagi. Saya pun tidak tahu dicalonkan atau tidak. Saya tunggu proses sampai ke peringkat itu.

“Selepas itu, Pusat (pimpinan DAP) akan hantar surat makluman kepada calon-calon yang layak untuk maklumkan bahawa anda sudah dicalonkan dan diberikan masa tujuh atau 14 hari untuk menerima atau tidak menerima pencalonan itu. Kemudian, barulah dapat kita senaraikan calon-calon yang akan bertanding,” katanya selepas merasmikan Food Bayana di Bayan Lepas, di sini hari ini.

Sebelum ini, laporan media berbahasa Mandarin yang memetik sumber DAP mendakwa, Kon Yeow tidak akan bertanding ada pemilihan DAP nanti. Laporan yang sama juga menyebut bahawa Setiausaha DAP Pulau Pinang ketika ini iaitu Lim Hui Ying, akan menjadi Pengerusi DAP negeri yang baharu selepas ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan berkata, sebenarnya tarikh akhir proses penghantaran penamaan calon-calon yang bertanding adalah pada 24 Ogos ini.

“Sebenarnya hari ini bukan hari terakhir untuk menghantar senarai calon tetapi pada 24 Ogos ini. Untuk pentadbiran, kita kumpul dari cawangan-cawangan Pulau Pinang bagi dihantar ke Pusat.

“Maka, mana-mana cawangan yang mahu menghantar melalui Ibupejabat DAP Pulau Pinang, mereka harus melakukannya pada hari ini.

“Bagaimanapun, sekiranya pihak cawangan tidak mahu melalui ibu pejabat negeri, mereka tidak dihalang untuk menghantar terus ke Pusat kerana pemilihan ini dikendalikan oleh Ibu Pejabat Pusat,” katanya.

Kongres dan pemilihan semula DAP Pulau Pinang kali ini akan diadakan di Spice Arena, di Bayan Lepas pada 22 September depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×