KANGAR: Semangat dan keikhlasan Ketua Biro Politik Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh dalam perjuangan patut dijadikan ikutan seluruh umat Islam dengan negara-negara Islam yang perlu bersatu padu.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Ismail berkorban bukan sahaja dirinya, sebaliknya anak-anak beliau juga banyak terkorban kerana perjuangan ini.
Katanya, semangat yang ditiupkan oleh Ismail ini adalah suatu lambang istiqamah dalam menegakkan kebenaran dan ia perlu dicontohi umat Islam seluruh dunia.
“Kematian Ismail adalah lambang istiqamah bagi menegakkan kebenaran. Peristiwa yang menyebabkan kematian seorang pemimpin utama Hamas amatlah menyedihkan kerana kita kehilangan seorang pemimpin gerakan Islam bukan sahaja di Gaza, tetapi di seluruh dunia.
“Keikhlasannya (Ismail) dalam perjuangan menyebabkan beliau dibunuh oleh musuh-musuh Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Terdahulu, media melaporkan, Ismail meninggal dunia akibat dibunuh di Iran yang dipercayai dirancang oleh rejim Zionis dalam satu serangan khianat di kediamannya di Teheran.
Kali terakhir, beliau dilihat mengadakan pertemuan dengan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei dan Setiausaha Agung Gerakan Jihad Islam Palestin, Ziyad al-Nakhalah.

Tambah Hashim, umat Islam perlu mengambil pengajaran daripada kematian seorang pemimpin Islam seperti Ismail.
Ujarnya, seorang syuhada seperti Ismail tidak akan rugi apa-apa kerana mereka dijamin oleh Allah SWT dengan keampunan dosa dan kemampuan memberi syafaat kepada 70 orang ahli keluarganya.
“Apabila seseorang meletakkan kepentingan akhirat sebagai keutamaan, kematian mereka adalah satu keuntungan kerana mereka akan dikurniakan tempat tinggal yang lebih baik di akhirat kelak,” ujarnya.
Sementara itu, Hashim juga menyeru umat Islam untuk tidak melihat kepada bilangan yang terkorban, tetapi kedudukan mereka di akhirat.
“Kalau jaminan agama menunjukkan bahawa mereka diterima baik oleh Allah SWT, mereka reda dengan Allah SWT dan Allah SWT reda dengan mereka, maka itulah kejayaan sebenar.
“Keadaan sekarang memerlukan perubahan dalam sistem nilai, di mana umat Islam perlu terus berusaha dalam perjuangan yang benar demi mencapai keredaan Allah SWT,” katanya. –UTUSAN










