Pembenihan awan tambahan di utara Perak jika paras air masih kritikal - Utusan Malaysia

Pembenihan awan tambahan di utara Perak jika paras air masih kritikal

MOHAMMAD Nizar Jamaluddin (kanan) melepaskan konvoi Jalur Gemilang negeri Perak di Dataran Putra, Lumut, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kerajaan Perak akan melakukan lagi operasi pembenihan awan (OPA) di kawasan utara negeri ini jika bekalan air di kawasan tersebut masih terus berada pada paras kritikal.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata sebarang operasi bergantung kepada persetujuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan saranan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Proses OPA telah dilaksanakan selama tiga hari pada 29 hingga 31 Julai lalu di utara Perak dan Kedah.

“Ia sedikit sebanyak berjaya menambah kapasiti air di Empangan Bukit Merah dan Temengor,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mewakili Menteri Besar melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Dataran Putra, Lumut, hari ini.

Menurutnya, ketika ini paras air di Empangan Bukit Merah masih dalam paras bahaya tetapi jika hujan berterusan hasil daripada OPA tempoh hari, beliau percaya tiada keperluan untuk melakukan OPA lagi.

Pada 9 Julai lalu, Nadma dalam satu kenyataan memaklumkan Empangan Bukit Merah dan Empangan Muda di Kedah menunjukkan penyusutan baki simpanan semasa air mentah dan berada pada paras bahaya iaitu masing-masing 19.97 peratus dan 18.37 peratus.

Mohammad Nizar sebelum ini dilaporkan berkata berkata, fenomena yang berlaku di empangan tersebut adalah yang terburuk direkodkan sejak empat tahun lalu berpunca fenomenan El-Nino yang melanda negara sejak 2023 hingga Mei lalu.

Dalam pada itu, beliau meminta semua pemilik premis termasuk perumahan dan perniagaan supaya mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan ini.

“Bagi mereka yang memiliki Jalur Gemilang yang lusuh dan terkoyak, inilah masanya untuk menukar dan mengibarkannya sebagai menunjukkan rasa sayang kepada negara dan negeri,” ujarnya.

Pada majlis itu, Mohammad Nizar turut melepaskan konvoi Jalur Gemilang yang disertai 19 kenderaan daripada 16 agensi yang bergerak ke setiap daerah di Perak, bermula dari sini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN