LANGKAWI: Peniaga Pasar Awam Padang Matsirat, di sini terpaksa membuka gerai jualan mereka di tepi Jalan Kuala Teriang selepas kawasan perniagaan tersebut dinaiki air pagi tadi.
Tinjauan di kawasan itu mendapati, kira-kira 10 peniaga meletakkan meja dan pelbagai hasil laut di tepi jalan yang kedudukannya lebih tinggi berbanding pasar tersebut.
Sementara itu, sebahagian Jalan Kuala Teriang yang tidak jauh dari kawasan mereka meniaga turut dipenuhi air sehingga lalu lintas terpaksa dilencongkan melalui hadapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Matsirat.
Seorang peniaga, Hafifuddin Zainol Abidin, 26, berkata, kira-kira 60 peniaga terjejas disebabkan banjir tersebut yang berlaku pagi ini ekoran hujan lebat sejak tengah malam tadi.
“Ada tong ikan yang hanyut disebabkan arus deras kerana kedudukan pasar ini yang betul-betul terletak bersebelahan dengan Sungai Melaka.
“Keadaan cuaca sekarang juga menyebabkan air banjir hanya akan surut pada petang nanti, sekiranya tidak hujan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seorang lagi peniaga, Azlan Seman, 40, berkata, banjir kerap terjadi di sekitar pasar tersebut pada setiap tahun, namun kali ini paras air mencecah sehingga ke paras pinggang.
“Jadi kali ini kami mengambil inisiatif untuk membuka gerai jualan di tepi jalan pasar bagi menghabiskan stok ikan yang ada kerana bukan sahaja kami pelanggan pun tidak dapat beli ikan kalau kami berniaga dalam pasar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hasan Sirat, 54, berkata, air naik secara tiba-tiba kira-kira pukul 7 pagi tadi setelah tiga jam dia berada di pasar tersebut untuk membuat persiapan berniaga.
“Setakat Subuh tadi, air hanya paras buku lali tetapi tidak lama kemudian secara tiba-tiba sahaja air terus naik dengan laju dan mujur saya sempat menyelamatkan tong ikan daripada dihanyutkan ke sungai,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat antaranya Kampung Limbong; Kampung Atas; Kampung Lubuk Setul; Kampung Batu Ara dan Kampung Kerman di Sungai Menghulu.
Di Kampung Limbong, 10 buah rumah dimasuki air melibatkan 40 mangsa, selain Pasar Awam Padang Matsirat yang terletak di tepi Sungai Melaka turut tenggelam sehingga paras pinggang.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Khairul Afzan Md. Yasin berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini dengan trend air yang semakin surut. -UTUSAN