Pasangan kekasih pecah rumah ditahan di pajak gadai - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih pecah rumah ditahan di pajak gadai

MOHD. RAZMAN SETAPA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pasangan kekasih diberkas di dua kedai pajak gadai berasingan selepas disyaki melakukan aktiviti pecah rumah di Kampung Binjai Bongkok, di sini, pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd. Razman Setapa berkata, kedua-dua suspek berusia 20 tahun itu ditahan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada pukul 1.15 tengah hari, semalam.

‘Ketika ditahan, pasangan kekasih terbabit berada di dua kedai pajak gadai berasingan dipercayai mahu menggadai barangan kemas yang disamun mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum itu, pihaknya menerima laporan kes pecah rumah daripada mangsa pada pukul 8.55 malam, Rabu lalu

Menurutnya, kejadian pecah rumah tersebut disyaki berlaku sewaktu pasangan suami isteri terlibat keluar bekerja.

“Mereka hanya menyedari rumah mereka dipecah masuk apabila menyedari kesan pecah pada pintu kayu di belakang rumah sewaktu pulang daripada kerja pada pukul 6.23 petang, Rabu lalu,” ujarnya

Mohd. Razman berkata, pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) kemudiannya mendapati imej dua individu disyaki suspek memecah masuk rumah mangsa.

Beliau berkata, selain wang tunai, pasangan kekasih tersebut disyaki turut melarikan barangan kemas milik mangsa.

“Sewaktu ditahan, pemeriksaan menjumpai wang tunai berjumlah keseluruhan RM7,500 disyaki dicuri dari rumah mangsa.

“Barangan kemas dipercayai mangsa juga dipercayai berjaya dijumpai semula,” katanya.

Mohd. Razman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN