KANGAR: Pas menegaskan tidak pernah mengarahkan Mohd. Shukri Ramli melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar disebalik desas-desus kononnya Pesuruhjaya Pas itu negeri bakal melepaskan jawatan menjelang akhir Ogos atau September ini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, desas-desus tersebut yang hangat diperkatakan itu hanya khabar angin dengan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Mohd. Shukri masih berjalan seperti biasa.
Katanya di dalam pengetahuan beliau, Pas tidak pernah mengarah Mohd. Shukri melepaskan jawatan malah perkara itu langsung tidak pernah dibincangkan.
Hashim juga menasihatkan Mohd. Shukri untuk tidak melayan desas-desus seperti itu.
“Tidak ada, dalam pengetahuan saya, tidak pernah Pas pusat mengarahkan Mohd. Shukri melepaskan jawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Terdahulu, timbul desas-desus termasuk laporan sebuah portal berita yang menyatakan bahawa bakal berlaku perubahan daripada segi kepimpinan Menteri Besar yang mana Mohd. Shukri dikhabarkan akan meletakkan jawatan menjelang Ogos atau September.

Namun, Mohd Shukri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis menafikan khabar angin itu selain tidak mengetahui mengenai kewujudan desas-desus itu.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun berkata, desas-desus tersebut dilihat sebagai satu cubaan pihak tertentu yang cuba menimbulkan persepsi tidak baik terhadap kepimpinan di negeri itu.
Katanya, tidak akan berlaku sebarang perubahan daripada segi kepimpinan pentadbiran negeri dalam masa terdekat ini.
“Tiada khabar berita apa pun, tidak ada sebarang perubahan kepimpinan membabitkan Menteri Besar yang akan berlaku di negeri ini.
“Namun, apa yang saya nampak adalah khabar angin ini cuba ditimbulkan pihak yang berkepentingan serta tidak bertanggungjawab menimbulkan persepsi dan khabar angin untuk tujuan tertentu,” katanya.
Exco kerajaan negeri, Wan Zikri Afthar Ishak pula berkata, jentera kerajaan negeri masih berjalan seperti biasa dan tidak ada-apa berlaku.
“Setakat ini, tiada apa-apa yang berlaku (peletakan jawatan Menteri Besar), segalanya berjalan seperti biasa.
“Kita terus bekerja macam biasa di sini dan apa yang sedang berlaku itu hanyalah khabar angin sahaja,” jelasnya. – UTUSAN










