Pas kekal kerajaan negeri walau BN menang

Pas kekal kerajaan negeri walau BN menang

AZALINA Othman Said (kanan) menyantuni pengundi DUN Nenggiri di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, Kelantan semalam. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pas kekal menjadi kerajaan di Kelantan walaupun Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos ini.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said sebaliknya berkata, kemena­ngan BN itu akan menjadikan calon mereka, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie sebagai penghubung antara Nenggri dengan Kerajaan Persekutuan selain membawa suara di peringkat DUN Kelantan.

Katanya, yang penting peng­undi Nenggiri dinasihatkan tidak tersalah pilih wakil rakyat dan memilih pemimpin yang sudah berpengalaman bagi membangunkan kawasan mereka.

“Rakyat perlu buat keputusan bijak pada PRK Sabtu ini dengan memilih pemimpin yang menjadi penghubung antara rakyat dengan kerajaan pusat. Pa­ling penting mereka harus pilih wakil rakyat yang sentiasa ada bersama mereka serta memberi fokus perkhidmatan di kawasan kampung.

“Saya nak ingatkan penduduk DUN Nenggiri banyak perkara melibatkan seliaan kerajaan pusat walaupun tanah ini milik kerajaan negeri. Tapi pelaksanaan soal perparitan, hospital, naik taraf mahkamah semua di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

“Apabila kita pilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili suara kerajaan pusat lebih mudah dan senang. Kalau tengok kawasan Nenggiri ke­tinggalan apabila kemenangan diberi kepada pihak lain dan bukan kerajaan BN,” katanya kepada pemberita selepas Program Dikir Barat Merdeka dan Awie Untuk Nenggiri di Gelanggang Futsal Kampung Limau Kasturi di sini semalam.

Azalina berkata, pengundi yang bijak sudah pasti pilih orang yang dapat membantu pembangunan kawasan.

“Orang yang banyak bercakap dia tak tinggal di Nenggiri dan semua akan balik yang tinggal  mereka yang mengundi. Jadi kita mesti pilih wakil rakyat dapat membantu rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×