BAGAN SERAI: Paras air di Tasik Bukit Merah di sini mencatat kenaikan berikutan hujan selepas tasik itu surut kritikal sejak bulan lalu disebabkan kemarau.
Tinjauan Utusan Malaysia di Bukit Merah Laketown Resort mendapati tiada lagi kelihatan tanah dasar tasik seperti sebelum ini sehingga kawasan itu ditumbuhi rumput dan tanahnya merekah.
Di kawasan jeti nelayan darat di Kampung Selamat pula mendapati kawasan itu mula terdapat air selepas sebelum ini kawasan kering itu hingga kira-kira 1,500 meter ke tengah tasik.
Difahamkan paras bacaan air di tasik itu meningkat daripada 19.85 kaki minggu lalu kepada 21.10 kaki hari ini.
Berikutan kemarau, operasi pembenihan awan dilakukan di sekitar Bukit Merah pada 29 hingga 31 Julai lalu.
Tasik itu mengalami penyusutan air yang kritikal lebih sebulan sehingga menyebabkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian terpaksa menghentikan bekalan pengairan kepada pesawah sejak 26 Jun yang lalu.
Pemberhentian bekalan pengairan menyebabkan hampir 5,000 hektar sawah padi di kawasan Bagan Serai terjejas dengan anggaran kerugian bernilai hampir RM7.5 juta melibatkan 2,162 orang pesawah.
Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian turut menghantar pam air pelbagai saiz untuk mengepam air daripada parit sebagai usaha membantu pesawah yang mengalami masalah sawah yang kering bagi menyelamatkan tanaman mereka.
Pada masa yang sama, sebuah resort di tasik itu terpaksa menghentikan semua aktiviti rekreasi yang menggunakan tasik tersebut sehingga paras air pulih sepenuhnya.
Sementara itu, setakat ini JPS Kerian belum mengeluarkan kenyataan sama ada bekalan pengairan ke sawah di sini yang dihentikan lebih sebulan lalu akan disalurkan semula ekoran pertambahan paras air di empangan tersebut.
Tasik Bukit Merah merupakan nadi utama bagi penduduk Kerian yang mana airnya bukan sahaja digunakan untuk pengairan sawah dan bekalan domestik tetapi turut digunakan untuk kolam ternakan ikan Arowana dan juga kawasan perindustrian di Kamunting.
Dalam perkembangan berkaitan, paras air Taman Tasik Taiping di sini yang surut sehingga menampakkan dasarnya berikutan cuaca panas baru-baru ini kini semakin pulih.
Tinjauan mendapati paras air di tasik itu naik sejak beberapa hari lalu dan tidak lagi kelihatan dasar tasik seperti sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Seng Guan berkata, paras air di tasik itu semakin pulih berikutan hujan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, begitupun paras air di tasik itu belum mencatat kenaikan hingga ke paras normal.
“Paras air tasik ini semakin pulih tetapi masih memerlukan dua atau tiga hari hujan lagi untuk kembali mencatat paras normal.
“Air dari bukit berdekatan yang mengalir masuk ke tasik ini membantu kenaikan paras air. Air hujan dari bukit yang masuk ke tasik ini merupakan bekalan utama yang menampung air di tasik ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, air tasik itu surut akibat kemarau apabila paras air sungai berdekatan yang menjadi antara sumber air di situ juga didapati menurun dan memberi kesan kepada tahap air di dalam tasik atau kolam di taman itu. – UTUSAN









