Orkid harimau berbunga selepas 7 tahun dihias Jalur Gemilang

Orkid harimau berbunga selepas 7 tahun dihias Jalur Gemilang

HAMZAH Mohamad menghias pokok bunga Orkid Harimau yang ditanamnya dengan Jalur Gemilang ketika ditemui di Kampung Chenong Ulu, Rembau, semalam.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang pesara tentera tidak menyangka lima daripada 56 pokok orkid harimau yang ditanamnya sejak tujuh tahun lalu berbunga pada sambutan Bulan Kemerdekaan ini.

Sehubungan itu, dia tidak melepaskan peluang menghiasnya dengan Jalur Gemilang.

Hamzah Mohamad, 65, dari Kampung Chenong Ulu di sini memberitahu, orkid harimau atau nama saintifiknya grammatophyllum speciosum adalah spesies terbesar orkid yang hanya berbunga dalam tempoh tiga atau lima tahun sekali.

Malahan, katanya, ia boleh membesar setinggi tiga meter dan ada kalanya hanya berbunga selepas 10 tahun ataupun tidak berbunga langsung sepanjang dijaga.

“Walaupun hanya lima buah pasu yang berbunga, alhamdulillah, bunga orkid harimau ini menjadi penambah seri kepada hiasan kemerdekaan di rumah ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ujar Hamzah lagi, dia mula menanam orkid harimau sejak tujuh tahun lalu selepas diberikan oleh adiknya dan hanya berbunga selepas enam tahun.

“Saya tanam dekat tanah, saya pecah-pecahkan pokok dan sekarang sudah ada 56 pasu. Pokok bunga orkid ini ada peminatnya, ada yang kata satu pasu berbunga nilainya melebihi RM700 manakala anak pokok boleh mencecah RM200.

“Walau apa pun harganya, saya tanam dan biak di rumah kerana minat sahaja,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia amat berharap agar usahanya menghias rumah dengan pelbagai bendera sempena Bulan Kemerdekaan akan dapat menyemarakkan lagi sambutan selain mengingatkan generasi muda mengenai pengorbanan generasi terdahulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×