Nyaris maut peluru tembus topi

Nyaris maut peluru tembus topi, muncung senjata musuh dihala pada badan

GAMBAR kenangan Mohd. Ayob Shahri@Ridzuan (duduk kanan) semasa Op Idaman 1 di Sarawak pada 1983 hingga 1984.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang bekas komando tidak lupa pengalaman bertempur dengan pengganas komunis yang hampir meragut nyawanya dalam operasi di Chamang, Bentong di negeri ini dan Mukah, Sarawak.

Mohd. Ayob Shahri@Ridzuan, 62, berkata, dalam operasi Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) pada Jun 1980, dia bersama pasukan Sebelas Rejimen Gerak Khas (RGK) di Mukah, Sri Aman, Sibu dan Kano­wit, Sarawak hampir terbunuh apabila sebutir peluru menembusi topi dipakainya.

“Misi pasukan RGK untuk menumpaskan gerakan komunis yang aktif di Sarawak me­nemukan tempat kem persembunyian diduduki lebih 30 komunis di hutan Mukah.

“Berlaku pertempuran cukup senget ketika itu. Saya berlin­dung di sebatang pokok besar. Ketika membidik senjata untuk membalas tembakan tiba-tiba sebutir peluru musuh menembusi topi. Saya bernasib baik pokok telah menjadi penampan.

“Saya lihat banyak kesan tembakan bersarang di pokok setelah pertempuran tamat sekitar 30 minit selepas itu. Saya bersyukur masih bernyawa tanpa cedera dan dapat meneruskan operasi,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Mohd. Ayob Shahri yang menyertai tentera pada 1980 di Port Dickson, Negeri Sembilan berkata, dalam operasi bersepadu di hutan Chamang, nyawanya ketika itu ibarat di hujung tanduk apabila muncung senjata musuh sudah menghala ke arah badan tetapi ketua pasukan, Leftenan Mohd. Ali pantas menembak mati komunis berkenaan.

Menurutnya, dia juga tidak lupa pengalaman ngeri pada 1988 apabila payung terjun tidak kembang semasa latihan kerana angin lebih 10 knot menyebabkan dia terhempas secara duduk se­tinggi 30 kaki atau 9.144 meter.

Katanya, pengalaman bagaikan mati hidup semula itu mengakibatkan dia yang masih bujang ketika kejadian terpaksa dirawat di Hospital Melaka lebih tiga bulan kerana mengalami patah pinggang.

“Saya bersyukur Allah SWT memberi peluang hidup kali kedua, berkahwin dan kini mempunyai lima anak dan enam cucu sebagai penyambung warisan,” katanya.

Beliau berkata, antara operasi komando disertainya di Hutan Banding, Perak, Kuala Kubu Baru, Selangor, hutan Raub dan Kelantan serta lain-lain bagi membanteras gerakan pengganas komunis yang sering sering mensabotaj prasarana negara.

Beliau berharap generasi muda menghargai pe­ngorbanan prajurit yang mempertaruh nyawa, emosi dan air mata untuk memakmurkan negara tercinta ini daripada penjajah serta pengganas komunis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN