Nyaris dirempuh treler terbabas - Utusan Malaysia

Nyaris dirempuh treler terbabas

KEADAAN halaman rumah yang roboh setelah dirempuh sebuah treler di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: “Jarak saya duduk dengan dinding rumah yang dirempuh treler itu cuma semeter. Alhamdulillah Allah selamatkan saya.”

Demikian ungkap suri rumah, Shafiqa Shafie, 37, menceritakan saat-saat mencemaskan ketika sebuah treler merempuh rumahnya di Taman Desa Banyanmas, Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, Shafiqa berehat di bilik tidur utama terletak bersebelahan halaman rumahnya yang dirempuh kenderaan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rempuhan yang merobohkan struktur bumbung dan tiang di halaman rumah itu juga mengakibatkan sebuah kereta dan motosikal mengalami kerosakan. 

Shafiqa yang tinggal sendirian di rumah berkenaan memberitahu, seluruh badannya masih mengigil dan trauma dengan kejadian tidak disangka itu.

“Saya berehat dalam bilik tersebut ketika mendengar bunyi treler seperti tidak boleh brek. Saya cuba tengok melalui tingkap tetapi treler itu tiba-tiba sudah ada di depan rumah dan menghentam tiang di hadapan rumah.

“Saya segera lari keluar dan minta tolong. Saya tidak nampak apa dah ketika itu termasuk pemandu treler yang dikatakan mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Shafiqa berkata, ketika kejadian, dia bersendirian di rumah memandangkan suaminya, Mohd. Shahril Md Wazir, 35, berada di Johor atas urusan kerja.

“Saya merasa bersyukur sangat kerana umur saya masih panjang. Alhamdulillah, mungkin ini berkat daripada amalan saya mengamalkan zikir Bismillah 5,” katanya.

Sementara itu, ibu mentua Shafiqa, Jerina Ali, 62, yang tinggal tidak berjauhan berkata, kawasan laluan treler itu sering berlaku kemalangan dan penduduk pernah bercadang agar satu tembok dibina bagi mengelak kejadian seperti itu.

Dalam pada itu, menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan, pemandu treler berkenaan yang merupakan seorang lelaki warga Thailand mengalami kecederaan ringan.

“Setakat ini hanya pemandu treler yang mengalami cedera ringan akibat kemalangan itu dan polis dalam proses menyita treler dan melakukan ujian urin ke atas pemandu,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN