Naik kapcai 15,000 kilometer ke Mekah

Naik kapcai 15,000 kilometer ke Mekah

MUHAMMAD AIDIL Nursulhi tiba di sempadan Arab Saudi untuk menuju ke Mekah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Perjalanan lebih 15,000 kilometer (km) menggunakan jalan darat yang memakan masa kira-kira 44 hari bermula Ramadan lalu untuk mengerjakan ibadah umrah di tanah suci Mekah dan Madinah, Arab Saudi menjadi pengalaman tidak ternilai buat seorang anak muda berumur 19 tahun, Muhammad Aidil Nursulhi dari Pulau Sebang di sini.

Sama seperti rata-rata pemuda seusianya ketika dipelawa menyertai Konvoi Jelajah Silaturahim Malaysia ke Mekah oleh bapanya selaku penganjur iaitu dua bulan sebelum umat Islam di seluruh dunia berpuasa, Muhammad Aidil mengakui agak gentar dengan permintaan sedemikian.

Katanya, kembara menggunakan kapcai atau motosikal berkuasa rendah pastinya lebih mencabar berbanding menunggang motosikal berkuasa tinggi terutama semasa melalui bentuk muka bumi yang mencabar seperti Banjaran Himalaya di sempadan Laos-China dan padang pasir di Asia Barat.

MUHAMMAD AIDIL Nursulhi tiba di Madinah selepas menempuh perjalanan hampir 15,000km dari Melaka selama 44 hari.

Muhammad Aidil berkata, lebih memeranjatkan apabila bapanya, Nursulhi Rahim, 47, memintanya menggunakan motosikal Modenas Kriss 110 terbiar yang hanya dalam bentuk rangka ketika dibeli daripada seorang kenalan, sebelum dibaik pulih khusus untuk konvoi itu.

“Walaupun saya pernah ikut ayah sebagai pembonceng jelajah ke Thailand contohnya, saya cakap terus terang, paling jauh saya menunggang motosikal adalah ke Janda Baik, Pahang. Itu pun bagi saya sudah tersa­ngat jauh.

“Ini pula ayah cakap, apa kata kita guna motosikal jenama tempatan untuk ke Mekah. Saya kalau boleh hendak motosikal yang berkuasa lebih tinggi sedikit contohnya bersesaran 135cc atau 150cc berbanding hanya 110cc.

“Tetapi ayah cakap konvoi ini besar maknanya. Bukan sahaja untuk ke tanah suci tunaikan umrah tetapi ini misi membawa nama negara. Kita juga hendak buktikan walaupun hanya naik kapcai jenama tempatan boleh sampai sejauh itu, kalau ada kehendak,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.

CABARAN SEMPADAN LAOS-CHINA DAN VISA IRAQ

Jelasnya, dalam jelajah yang bermula dari Melaka pada 19 Mac lalu, dia perlu menempuhi Malaysia, Thailand, Laos, China, Nepal, India, Pakistan dan Iran sebelum menaiki feri ke Dubai, seterusnya tiba di Mekah pada 1 Mei.

Ujarnya, cabaran sebenar bermula sebaik sahaja melepasi sempadan Laos-China yang mana cuaca sejuk bukan sahaja mendatangkan impak kepada tubuh badan, malah turut menjejaskan prestasi jentera terutama motosikal menggunakan sistem karburetor.

MUHAMMAD AIDIL Nursulhi (kiri) dan Nursulhi Rahim bersama Perodua Kelisa yang digunakan untuk menjelajah sehingga ke sempadan Norway pada 2019 ketika ditemui di Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka. – MINGGUAN/SYAFEEQ AHMAD

Tambah anak sulung daripada empat beradik itu, kesejukan mencecah dua darjah Celsius bukanlah sesuatu yang mudah dihadapi oleh rakyat Malaysia yang dibesarkan dengan iklim tropika.

“Selain sukar untuk bernafas, untuk menempuhi jarak perjalanan hampir 5,000km di China memang paling mencabar. Motosikal saya bermasalah kerana sistem karburetor tidak boleh bekerja dengan baik kerana cuaca sejuk berbanding motosikal lebih moden menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik (electronic fuel injection).

“Konvoi kami seramai 20 orang yang menaiki motosikal dan kereta terkandas di Iran kerana isu tidak memperoleh visa daripada kerajaan Iraq. Kita sudah mohon sebelum jelajah dimulakan, namun sebab faktor ketidakstabilan di negara itu, permohonan itu tidak berjaya walaupun telah dibantu Kedutaan Malaysia.

“Tidak mahu membazir masa dan meningkatkan kos perjalanan, ditambah pula ahli konvoi masing-masing ada masalah sendiri contohnya kereta panduan sebelah kanan tidak dibenarkan memasuki Arab Saudi. Jadi ada yang naik kapal terbang dari Lahore tetapi saya teruskan juga dengan motosikal sebelum menaiki feri dari Iran ke Dubai,” katanya.

MICROSLEEP, BERGESEL DENGAN TRELER DI PAKISTAN

Dua insiden yang hampir meragut nyawanya di Pakistan dan Arab Saudi kekal terpahat dalam ingatan Muhammad Aidil sebagai pengajaran serta peringatan daripada Ilahi.

Ceritanya, semasa pihak berkuasa Pakistan mengiringi konvoi, pergerakan yang terlalu perlahan demi faktor keselamatan iaitu hanya 40 kilometer sejam (km/j) membuatkannya diserang microsleep lantas bergesel dengan sebuah treler.

MUHAMMAD AIDIL Nursulhi membantu Nursulhi Rahim melakukan kerja-kerja restorasi motosikal lama di bengkel bersebelahan kediaman mereka di Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka. – MINGGUAN/SYAFEEQ AHMAD

Ujarnya, dia hanya tersedar saat mukanya hampir mengenai tayar jentera berat itu, sebelum kotak barangan yang dipasang pada belakang motosikal berjaya menahan daripada terperosok ke bawah treler.

“Buka sahaja mata, saya dah terbayang mungkin sampai sini sahaja perjalanan saya. Tidak sempat jadi tetamu Allah, tidak sempat hendak lihat Kaabah. Tiba-tiba saya rasa diri melantun ke belakang, rupanya kotak barangan terkena sisi treler dan menolak motosikal ke tepi.

“Saya jatuh tetapi tidak jatuh di laluan treler. Alhamdulillah terselamat, konvoi berhenti dan memanggil ambulans untuk rawatan kecemasan. Hanya penyerap hentakan hadapan motosikal (fork) sahaja bengkok. Pinggang bengkak tetapi selepas kerosakan dibaiki saya teruskan perjalanan ke Iran.

“Kali kedua saya jatuh di Arab Saudi, ketika itu dari sempadan Dubai-Arab Saudi menuju ke Riyadh. Motosikal ada sedikit kerosakan pada bahagian pemijak brek, saya melilau cari batu di padang pasir hendak ketuk betulkan kembali supaya boleh teruskan perjalanan ke Madinah,” jelasnya.

Kata Muhammad Aidil, sebaik sahaja tiba di Madinah, dia meletakkan motosikal di rumah kenalan sebelum membuat keputusan menuju ke Mekah menggunakan tren.

“Memang bila sampai Madinah baru saya beli kelengkapan untuk tunaikan umrah. Motosikal saya tinggalkan di Madinah sebab ada kenalan di sana, jadi boleh fokus beribadah. Lagipun kita dengar pintu sempadan hampir hendak tutup, lebih cepat naik tren,” ujarnya.

ROTI, KENALI DIRI DAN NIKMAT KEAMANAN

Bagi Muhammad Aidil, selain berpeluang menunaikan umrah melalui cara yang luar daripada kebiasaan, Konvoi Jelajah Silaturahim Malaysia ke Mekah itu mengajarnya mengenali potensi dan kelemahan diri serta mensyukuri nikmat Allah.

Katanya, nikmat keamanan merupakan anugerah tidak terhingga yang harus dipertahankan oleh semua rakyat Malaysia.

“Keamanan ini nikmat yang besar. Sebab masalah di Myanmar dan Iraq, kami tidak boleh melalui negara itu. Di Malaysia kita buka mata, terus dapat makan nasi. Dekat sana kami kejar masa kerana sehari kira-kira 800km perlu dihabiskan sebelum dapat berehat.

“Dalam tempoh 44 hari itu, makanan ruji saya adalah roti. Sebab hendak cepat dan bila sampai hotel memang kita terus tidur. Saya hanya puas dapat makan nasi semasa sampai di Pakistan, makan sampai dua pinggan. Itu yang lena diserang microsleep,” katanya berjenaka.

NILAI KEPERCAYAAN SEORANG BAPA

Tiada kejayaan yang didambakan seorang bapa, selain untuk memastikan anaknya mendapat pendidikan dan pengalaman hidup berkualiti untuk menjadi manusia berguna.

Bagi Nursulhi, kejayaan Muhammad Aidil menamatkan misi yang diamanahkan kepadanya sedikit sebanyak membentuk anak sulungnya dengan sifat bertanggungjawab dan amanah.

Jelasnya, selaku penganjur, dia sepatutnya mengetuai Konvoi Jelajah Silaturahim Malaysia ke Mekah tetapi hanya berkesempatan sehingga ke Laos, sebab faktor-faktor tidak dapat dielakkan.

MUHAMMAD AIDIL Nursulhi bersama sebuah lagi motosikal Modenas Kriss yang telah siap direstorasi di bengkel bersebelahan kediaman mereka di Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka. – MINGGUAN/SYAFEEQ AHMAD

Tegasnya, bukan sengaja membiarkan si anak berdepan rintangan bersendirian di luar negara, keyakinan itu bertitik tolak daripada pengalaman Muhammad Aidil yang pernah mengikutinya memandu kereta Perodua Kelisa sehingga ke sempadan Norway pada 2019.

“Aidil dia memang sudah ada pengalaman dengan saya jauh merantau dengan menaiki kereta, tetapi dia duduk di sebelah bukan sebagai pemandu. Jadi saya percaya dia boleh bantu konvoi untuk sampai ke Mekah selepas saya tinggalkan mereka di Laos.

“Kepada anak-anak muda, saya sarankan pergilah lihat negara orang,” katanya.

Tambahnya, motosikal ditunggang Muhammad Aidil masih berada di Madinah kerana menunggu jawapan daripada beberapa pihak yang sebelum ini bersetuju untuk membantu menguruskan penghantaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN