PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) diarah meningkatkan aspek penguatkuasaan susulan kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam mahu penguat kuasa memastikan harga barang tidak naik terutama harga makanan di restoran.
“Menteri-menteri juga diminta turun padang untuk melihat harga barangan di tempat masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
TELEGRAM
Sementara itu, Fahmi berkata, tiada arahan yang melarang penjawat awam menggunakan aplikasi Telegram yang didakwa berisiko diintip dan digunakan untuk jenayah siber, selain menjadi tempat pelindungan selamat untuk penggodam serta pengedar dadah.
“Biasanya aspek keselamatan (larangan) ini diuruskan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO). Waktu ini kita belum terima apa-apa arahan serupa (larangan),” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melakukan sesi libat urus dengan pemegang taruh dan platform media sosial mengenai aspek pelesenan.
“Kita percaya dengan proses pelesenan itu nanti, semua platform media sosial dan juga sistem pesanan internet akan akur dengan syarat-syarat dikenakan untuk menjamin internet yang selamat bagi rakyat Malaysia.
“Kementerian Komunikasi dijangka menerima permohonan mendapatkan lesen daripada pengendali platform media sosial sekitar Oktober atau November ini.
“Kita beri jaminan kepada (penyedia) platform media sosial memandangkan yang kita kenakan ini adalah Class License maka prosesnya tidak sukar dibandingkan dengan Individual License,” katanya.
Pada 27 Julai lepas, MCMC memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
SEKSUAL
Mengenai gangguan seksual yang didakwa melibatkan bekas ahli Parlimen PKR, Fahmi yang merupakan Ketua Penerangan parti itu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis.
“Perkara seperti gangguan seksual adalah perkara yang tidak harus kita bertoleransi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, beliau mengingatkan pengamal media yang pernah berdepan gangguan seksual ketika bertugas supaya segera melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa
Katanya, langkah berkenaan adalah bagi memastikan keselamatan pengamal media dijamin serta keadilan dapat ditegakkan kepada setiap mangsa.
Sebelum ini, seorang wartawan wanita dilapor mengalami gangguan seksual ketika bertugas bagi liputan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Bagaimanapun, laporan terkini menyatakan kes membabitkan wartawan itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA). – UTUSAN










