PETALING JAYA: Seorang pemimpin UMNO menyarankan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Justeru, Ahli Majlis Kerja Tertinggi, UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan, bekas Perdana Menteri itu tidak wajar menjadikan alasan beliau belum dihukum bersalah untuk tidak berundur.
“Ini berkaitan integriti. Dia didakwa rasuah kerana isu jana wibawa. Hari ini pula dia didakwa kerana isu 3R (raja, agama dan kaum). Menantunya belum menyerah diri dan Bersatu kalah teruk di Nenggiri.
“Muhyiddin patut contohi Najib. Dia letak jawatan bila Barisan Nasional (BN) kalah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Ketika itu dia belum didakwa pun.
“Tetapi kenapa dengan baggage yang berat masih mahu kekal jawatan. Pas bisu kerana masih keliru siapa ‘dajal’,” dakwanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Muhyiddin mendakwa video ucapan beliau semasa berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang menyentuh institusi raja dan tersebar di media sosial telah diedit oleh pihak tertentu.
Katanya, terdapat pihak yang memutar belit ucapannya termasuk menyunting video dengan niat memfitnah beliau menghina Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menghasut rakyat.- UTUSAN










