SHAH ALAM: Penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 dalam meningkatkan tahap celik kewangan mencapai objektifnya apabila merekodkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung.
Karnival celik kewangan selama empat hari anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu mendapat sambutan menggalakkan di semua tapak pameran yang merentasi pelbagai platform digital.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, MSAM yang julung kali berlangsung di Selangor ternyata menarik minat pengunjung meliputi pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia.
Menurutnya, perkara itu dianggap positif dalam merealisasikan usaha pihaknya melahirkan lebih ramai generasi muda yang celik pelaburan menerusi karnival tersebut.
“PNB menghargai sokongan 13 juta rakyat Malaysia yang memberi kepercayaan kepada kami dalam menguruskan simpanan mereka sejak 46 tahun lalu.
“Saya berharap para pelabur terus mengekalkan simpanan bagi menikmati pulangan lebih baik dalam jangka panjang,” katanya pada majlis penutupan MSAM yang disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, semalam.
Selain aktiviti celik kewangan, karnival bermula Khamis lalu itu meliputi pengenalan inisiatif Celik Madani yang menyasarkan sejuta pelajar baharu bagi tempoh lima tahun dalam pelaburan dan pengetahuan kewangan sebelum memulakan pekerjaan.
MSAM 2024 turut memperkenalkan logo baharu Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dengan penampilan lebih segar yang mewakili personaliti dinamik, empati, bijak dan bersemangat.
Tambah Arshad, inisiatif peralihan itu bertujuan membantu mempergiatkan lagi usaha pihaknya dalam menarik minat golongan muda.
“Hasrat kami mahu membentuk generasi yang lebih memilih alat mesra teknologi sedia ada ketika ini. Ia disokong oleh produk pelaburan dan nasihat kewangan yang empati menerusi perkhidmatan yang mudah dan diperibadikan,” ujarnya.
Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri menyokong sepenuhnya penganjuran karnival terbesar PNB berkenaan yang memfokuskan isu pengurusan kewangan di kalangan rakyat.
“Usaha itu amat penting bagi mengurangkan jumlah individu yang muflis terutama melibatkan golongan muda.
“Kita kini berdepan cabaran kepenggunaan tinggi dan ketiadaan pengurusan kewangan cekap dibimbangi bakal melahirkan generasi yang terperangkap dalam bebanan hutang,” ujarnya. – UTUSAN










