PENAMPANG: Sebanyak 75 persatuan etnik bersetuju menandatangani deklarasi supaya istilah ‘Momogun’ boleh digunakan sebagai satu nama rumpun masyarakat Orang Asal/Anak Negeri Sabah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Konvensyen Perdana Momogun itu bukan untuk mencipta satu nama bangsa yang baharu, tetapi satu nama rumpun bagi menggantikan istilah ‘lain-lain’ yang digunakan dalam borang kerajaan selama ini.
Beliau berkata, deklarasi itu merupakan satu keputusan dasar yang sangat besar selepas konvensyen pertama pada awal tahun 1960-an bagi memilih nama bangsa Kadazan, Dusun atau Momogun pada ketika itu.
“Bukan hanya nama rumpun kita sahaja yang penting tetapi juga sikap, pemikiran, disiplin dan integriti masyarakat Momogun yang rajin, bekerja keras, berkepimpinan dan boleh meraih perbezaan.
“Di samping itu, Momogun juga harus memperkasa persamaan dan mencetuskan pencapaian dan kejayaan yang boleh menjadi inspirasi atau motivasi terutama kepada generasi akan datang.
“Saya turut menyatakan pembudayaan nama rumpun Momogun harus bermula daripada pertubuhan-pertubuhan yang telah mendukung dan menandatangani deklarasi tersebut melalui penulisan, pengucapan dan pengisian program,” katanya semasa majlis penutupan Konvensyen Perdana Momogun anjuran Kongres Momogun Kebangsaan di sini, semalam.
Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, beliau tetap seorang kadazan dan berbangga dengan bahasa Kadazandusun, walaupun menyokong nama rumpun Momogun.
“Dengan deklarasi hari ini dan keputusan dasar oleh himpunan pertubuhan-pertubuhan ini dapat membuka ruang kepada banyak perkara positif mengenai masyarakat ini dan peranan serta sumbangan mereka terhadap negara.
“Saya katakan sebagai masyarakat majoriti di Sabah, tidak wajar masyarakat itu diletakkan dalam istilah ‘Lain-Lain’ dalam borang-borang rasmi kerajaan.
“Saya menyokong deklarasi itu dan adalah menjadi satu tanggungjawab untuk saya bawa perkara ini kepada kerajaan persekutuan,” katanya. – UTUSAN










