SABAK BERNAM: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengadakan pertemuan dengan Tesla Inc. (Tesla) pada 22 Ogos ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung pembatalan pembinaan kilang kereta tersebut di Asia Tenggara.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, ia penting bagi membolehkan kerajaan mendapat pengesahan daripada Tesla yang belum membuat kenyataan rasmi.
“Maklumat atau dakwaan berhubung pembatalan kilang kini hanya didengari daripada pihak ketiga.
“Justeru, kita akan berjumpa pihak pengurusan atasan Tesla dari Amerika Syarikat yang dijadualkan berlangsung di ibu pejabat MITI pada 22 Ogos ini,” katanya selepas merasmikan program Mini MITIday dan Majlis Pecah Tanah Dewan Serbaguna Terbuka Kampung Angkat Madani di Kampung Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar, dekat sini semalam.
Terdahulu, Tesla dilaporkan tidak akan membina kemudahan pembuatan kenderaan elektrik (EV) sama ada di Malaysia, Thailand atau Indonesia.
Memetik laporan akhbar Thailand, The Nation, pengeluar EV itu sebaliknya hanya menumpukan kepada pengukuhan ekosistem stesen pengecasan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kegagalan Tesla dalam bersaing dengan kenderaan EV keluaran syarikat dari China menyebabkan pembatalan rancangan mengembangkan operasi pengeluarannya.
Tengku Zafrul berkata, bagaimanapun pembatalan itu tidak menjejaskan Malaysia sebagai salah satu hab EV di rantau ini. – UTUSAN










