KUALA LUMPUR: Malaysia meneruskan bantuan merawat rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan rejim Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu termasuk menyediakan tempat rawatan di negara ini.
“Selain mengatakan insya-Allah kita akan lakukan sedaya upaya, kita akan menyuarakan pandangan tidak kira depan siapa, bantu yang sakit sama ada dirawat di sana atau dibawa ke mari untuk diberi rawatan, kita akan teruskan tanpa tolak ansur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato di Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau juga sudah menghubungi beberapa pemimpin negara Arab termasuk Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan untuk terus memberi kerjasama dan dukungan bantuan kemanusian supaya tidak melemahkan semangat rakyat Palestin.
“Selain itu saya harap saudara jangan henti bicara setiap hari demi Palestin. Jangan terus berhenti membantu dan bersedakh untuk ringankan beban rakan-rakan di Palestin.
“Saya mahu Malaysia terletak di dalam peta sejarah dalam kalangan negara yang konsisten dan sungguh-sungguh perjuangkan nasib rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN










