PETALING JAYA: Pendakwah Don Daniyal Don Biyajid atau lebih dikenali sebagai Ustaz Don akur dengan keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menarik balik tauliah mengajar di negeri itu, kata pengurusnya.
Pengurus Don Daniyal yang dikenali sebagai Ana berkata, pendakwah itu akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.
“Seperti biasa, Ustaz (Don) akur dengan setiap keputusan. Insya-Allah (akan buat rayuan). Doakan yang baik-baik,” katanya
Beliau mengulas sama ada Ustaz Don akan membuat rayuan selepas diberi masa sehingga 20 Ogos ini untuk berbuat demikian oleh MAIS.
Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, tauliah mengajar agama Islam Ustaz Don ditarik balik berkuat kuasa 24 Julai lalu.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah pada tarikh tersebut.
“Surat penarikan telah dikeluarkan oleh Setiausaha Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 31 Julai 2024 dan Don Daniyal diberikan tempoh 14 hari untuk merayu berkuat kuasa daripada surat penarikan tauliah diterima.
“Keputusan penarikan tauliah mengajar Don Daniyal dibuat berdasarkan kuasa Jawatankuasa mengikut subseksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang dibaca bersama perenggan 17(d) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008,” katanya.
Mengikut surat ditularkan sebelum ini yang disahkan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Mohammad Fahmi Ngah, tauliah mengajar Don Daniyal ditarik balik bersama empat individu lain. – UTUSAN










