Mahkamah benar pasport Wan Saiful dikembali sementara 

Mahkamah benar pasport Wan Saiful dikembali sementara 

Wacana Intelek
WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan pasport milik bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dikembalikan kepadanya buat sementara waktu bagi membolehkan beliau menguruskan beberapa hal keluarganya.

Hakim Rozina Ayob memerintahkan supaya pasport Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dikembalikan bermula hari ini dan perlu dipulangkan semula kepada mahkamah pada 19 Ogos ini.

Peguambela, Chetan Jethwani yang mewakili Wan Saiful memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya akan ke Singapura dan Indonesia dalam tempoh ini. 

Kata peguam itu, anak guamnya perlu berada di Singapura pada 10 Ogos ini untuk menguruskan akaun bank arwah isterinya dan berada di Indonesia untuk melawat kakaknya.

“Saya mohon supaya mahkamah menyerahkan pasport anak guam saya hari ini untuk mendapatkan pelepasan daripada Jabatan Imigresen,” kata Chetan. 

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi memaklumkan bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan itu.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes itu pada 19 Ogos ini untuk penjadualan semula tarikh perbicaraan di hadapan hakim baharu kerana Rozina yang mendengar kes itu sebelum ini berpindah pada 15 Ogos ini.

Pihak pendakwaan sebelum ini memaklumkan untuk memanggil seramai 50 saksi dan seramai sembilan orang telah memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 25 Mac lalu.

Wan Saiful dibicarakan atas tuduhan meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn. Bhd., daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn. Bhd. sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan SST bagi projek terbabit.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 dan 30 September 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN