Mahir bahasa Mandarin kelebihan Syed Hussein

Mahir bahasa Mandarin kelebihan Syed Hussein

SYED HUSSEIN SYED ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Mandarin adalah antara kelebihan yang dimiliki Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40, jika dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Kemahiran bahasa ketiga itu membolehkan beliau mendekati pelbagai golongan masyarakat, terutama kaum Tionghoa.

Selain itu, beliau juga sudah berkecimpung dalam arena politik lebih 20 tahun, menjadikan beliau sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sekiranya diberikan peluang mewakili suara rakyat.

Beliau juga tidak perlu diper­kenalkan lagi kepada umum kerana sepanjang penglibatan­nya sebagai ahli UMNO, pelbagai jawatan yang memerlukan beliau sentiasa mendampingi orang ramai, sudah disandang.

Bermula dengan jawatan sebagai Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Kluang (2018-2022), Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Kluang (2013-2022), Ketua Pemuda Cawangan Kampung Palembang Lama (2023-kini), Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang (2023-kini) dan Ketua Pene­rangan Pemuda UMNO Johor (2018-2022) pasti memberikannya banyak pengalaman dalam bidang politik.

Pemegang Diploma Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kluang (Zon Seri Impian) dan turut melibatkan diri dalam kerja sosial apabila menerajui beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Presiden Pertubuhan Dua Roda Kluang dan Penasihat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Pemangku Yang Dipertua PESAKA Kluang dan Penggerak Sosial Parlimen Kluang.

Anak kedua daripada lima beradik itu bertekad untuk memberikan khidmat terbaik jika diberi peluang.

“Bagaimanapun, siapa yang akan terpilih menjadi calon terserah kepada pucuk pimpinan Bahagian Kluang, negeri dan Pusat kerana mereka lebih arif tentang strategi memenangkan parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PRK DUN diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Mahkota diadakan pada 28 September depan.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN