Lima kontraktor Rumah Pahang tamat kontrak langgar perjanjian

Lima kontraktor Rumah Pahang tamat kontrak langgar perjanjian

KERATAN akhbar laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Lima kontraktor projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di negeri ini yang kini dikenali Rumah Pahang ditamatkan kontrak sejak enam bulan lalu kerana didakwa me­langgar perjanjian.

Pengarah Urusan KMDI Hol­dings Sdn. Bhd., Datuk Azjuriyahti Azlan yang merupakan pemaju Rumah Pahang berkata, kontraktor terbabit adalah sub-kontraktor yang dilantik untuk projek di Felda Keratong 7, Jengka 11, Kampung Awah, Bukit Sagu, Sungai Retang, Jengka 1, Kota Gelanggi 2, Jengka 12, Jengka 6 dan Bukit Tajau.

“Kontrak ditamatkan selepas beberapa kali notis dikeluarkan kepada mereka untuk meneruskan kerja-kerja mengikut Surat Setuju Terima yang ditandata­ngani bersama.

“Setelah ditamatkan kontrak, KMDI mengambil alih semula tapak-tapak projek dan meneruskan kerja seperti biasa,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, pemaju bermasalah didakwa punca 10 projek PGBF di negeri ini dika­tegorikan ‘projek sakit’ kerana sehingga kini tidak membayar tuntutan lima kontraktor utama berjumlah RM20.5 juta.

Kontraktor projek di Felda Jengka 1, Abd. Rahman Abd. Samad dilaporkan mendakwa, punca utama projek perumahan terbabit terbengkalai di­sebabkan pemaju ‘bermasalah’ yang merupakan rakan usahasama kerajaan ne­geri tidak membuat bayaran dituntut kontraktor utama.

Azjuriyahti mendakwa, nilai RM20.5 juta dituntut lima kontraktor berkenaan adalah tidak masuk akal dengan kerja-kerja dilakukan sebelum mereka meninggalkan kerja dan ditamatkan kontrak.

“KMDI dalam proses membawa semua sub-kontraktor yang melanggar Surat Setuju Terima ke mahkamah kerana melanggar syarat kontrak yang termaktub dalam surat tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dakwaan 10 projek Rumah Pahang berada dalam kate­gori ‘sakit’ tidak benar kerana ia ketika ini dalam proses pembinaan dan menunggu kelulusan daripada Pejabat Tanah dan jabatan-jabatan yang berke­naan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×