IPOH: Seorang lelaki disyaki mengalami masalah mental ditahan polis selepas mengamuk menggunakan pisau pemotong daging di Dataran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Jalan Dato Panglima Bukit Gantang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat kejadian itu dilaporkan kepada polis pada pukul 2.45 petang.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, seorang lelaki dilihat dalam keadaan mencurigakan sambil memegang pisau di tangan kanan.
“Lelaki itu telah diminta melepaskan pisau tersebut tetapi dia bertindak agresif dengan melibas pisau berkenaan beberapa kali ke arah polis.
“Semasa tangkapan dibuat, berlaku pergelutan hingga mengakibatkan seorang anggota berusia 35 tahun mengalami kecederaan pada siku kiri manakala suspek pula tidak cedera,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, semasa ditahan, suspek berusia 31 tahun dan tidak bekerja itu gagal mengemukakan kad pengenalan diri dan hanya memberi butir-butir diri melalui akuan lisan.
Katanya, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Sentral untuk tindakan lanjut bersama rampasan sebilah pisau pemotong daging berhulu warna coklat dengan tulisan Cina di bahagian besi.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau bersabit kes jenayah dan sembilan rekod lampau kes dadah.
“Suspek dibawa ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menjalani rawatan awal memandangkan lelaki itu disyaki mempunyai masalah mental,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – UTUSAN










