KEMAMAN: Seorang lelaki yang didakwa atas pertuduhan mencederakan isterinya di Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini, diarahkan menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
Perintah itu dibuat Hakim Wan Suhaila Mohd. terhadap Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 46, yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Wan Suhaila membuat keputusan itu selepas permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya Nur Syafiqah Noorinda supaya tertuduh menjalani pemeriksaan mental berikutan lelaki itu mempunyai rekod psikiatri dan pernah mendapatkan rawatan sebelum ini, namun telah berhenti menerima rawatan itu pada Mei tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Nor Al Faizan
didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 43 tahun di bahagian kepala, pipi, tangan dan bahagian belakang badan dengan menggunakan tangan dan kaki.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh kira-kira pukul 5.52 petang pada 16 Ogos lalu di Kampung Tanjung Bukit Mentok, Chukai.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama di bawah Seksyen 326A kanun yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksima RM2,000 atau kedua-duanya.
Wan Suhaila mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak dan menetapkan sebutan semula kes pada 23 September depan.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan, Wan Suhaila menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes seorang ibu yang didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak perempuannya yang berusia lima tahun lapan bulan di Kampung Air Jabur Kubur, pada 13 Julai lepas.
Tertuduh, Norulhuda Sofia Muda, 26,
sebelum ini pada 22 Julai lalu didakwa menarik rambut dan kepala serta menghayun kanak-kanak berkenaan keluar melalui tingkap sehingga terjatuh ke atas tanah.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Prosiding sebutan semula kes itu yang dijadualkan pada hari ini terpaksa ditunda ekoran mahkamah masih belum menerima laporan pemeriksaan mental tertuduh yang kini berada di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan. – UTUSAN










