ALOR SETAR: Pesawah di negeri ini dan Perlis mula diselubungi ‘kebimbangan’ apabila terdapat ura-ura kadar sewa jentuai padi akan meningkat daripada RM130 hingga RM140 serelung atau 0.3 hektar pada musim lalu kepada RM200, musim ini.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, kadar baharu itu terlalu tinggi dan membebankan pesawah yang selama ini sudah sekian lama ditekan oleh peningkatan kos mengusahakan padi.
Katanya, rata-rata pesawah tidak keberatan sekiranya peningkatan harga itu berlaku pada kadar munasabah iaitu antara RM150 hingga RM160.
“Namun apabila ada yang menyatakan kadar itu mungkin meningkat hingga mencecah RM200, kalangan pesawah memang tak setuju kerana kenaikannya terlalu drastik.
“Setakat ini belum ada kata putus dengan sesetengah pengusaha jentera yang juga dikhabarkan sedar akan hakikat bahawa kenaikan itu terlalu tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Tambahnya, kenaikan kadar sewa itu difahamkan bukan disebabkan oleh penyelarasan harga diesel sebaliknya disebabkan harga alat ganti, berpunca daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Kalaulah kenaikan setinggi itu dibenarkan, petani akan lebih terbeban selepas ini kerana kadar sewa jentera lain seperti jentera membajak, traktor dan lori akan turut meningkat.
“Kami menjangkakan peningkatan itu akan menyebabkan kenaikan kos keseluruhan kepada petani mencecah 30 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu Abdul Rashid berkata, cara kiraan sewaan jentuai padi di Kedah dan Perlis berbeza dengan sewaan di Selangor serta Perak yang disifatkan lebih adil.
Menurutnya di Perak dan Selangor, kadar bayaran sewa jentuai ditentukan mengikut berat padi terhasil dan bukannya keluasan sawah diusahakan.
“Apabila tiba musim menuai, pengusaha-pengusaha jentera ini pun pergi juga ke Selangor dan Perak namun di sana, mereka boleh pula terima kadar sewaan ditetapkan di dua negeri itu.
“Tetapi apabila mereka melaksanakan kerja di sini, kiraan tetap juga mengikut keluasan relung padi diusahakan. Insya -Allah pada Ahad nanti, kami akan adakan pertemuan bersama pengusaha-pengusaha jentera yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Kedah, Dzowahir Ab. Ghani,” katanya. – UTUSAN










