KUALA TERENGGANU: Sebanyak 2,490 buah koperasi sekolah di seluruh negara berjaya menyumbang RM430.42 juta melalui perolehan perniagaan pada sepanjang tahun lalu.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, statistik tersebut dikeluarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), baru-baru ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan ahli koperasi sekolah pula lebih dua juta orang.
Katanya, beliau percaya jumlah perolehan tersebut mampu mencecah RM500,000 juta pada tahun ini.
“Pencapaian tersebut menunjukkan pelajar yang dibimbing oleh guru berjaya menguruskan perniagaan koperasi dengan cekap sehingga memperoleh pendapatan tinggi.
“Kejayaan itu mampu memenuhi keperluan industri dan meningkatkan keboleh pasaran pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengiktirafan Perolehan RM1 Juta Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Kuala Terengganu Berhad di sini, hari ini.
Koperasi SMK Sultan Ahmad Kuala Terengganu Berhad menjadi sekolah pertama di Terengganu mencapai perolehan RM1 juta.
Abdul Fattah memberitahu, Angkasa menyasarkan lebih 30 koperasi sekolah di seluruh negara mampu mencapai perolehan lebih RM1 juta pada tahun ini.
Sementara itu, katanya, sasaran sebanyak 30 koperasi sekolah merekodkan perolehan melebihi RM1 juta pada tahun lalu telah tercapai.
“Kita jangka jumlah koperasi yang akan peroleh pendapatan lebih RM1 juta mampu melebihi 30 buah koperasi sekolah pada tahun ini.
“Sekarang ini, koperasi-koperasi sekolah yang berada pada tahap RM800,000 dan ke atas (perolehan) banyak, sebab itu kita yakin tahun depan, lebih banyak koperasi mampu mencapai perolehan melebihi RM1 juta,” katanya. – UTUSAN










