Kes komersial turun 8% tahun ini tapi rugi tinggi  RM1.5 juta - Ramli - Utusan Malaysia

Kes komersial turun 8% tahun ini tapi rugi tinggi  RM1.5 juta – Ramli

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 18,205 kes jenayah komersial direkodkan sehingga 11 Ogos lalu iaitu menurun lapan peratus daripada 19,720 kes yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah kes tersebut, secara  purata polis menerima 81 kes sehari berkaitan jenayah komersial pada tahun ini.

Menurut beliau, daripada kes-kes yang dilaporkan ia membabitkan nilai kerugian sehingga  RM1.5juta. 

“Jumlah kerugian sepanjang tahun ini  meningkat 31 peratus walaupun kes dilaporkan menurun lapan peratus.  Tahun lalu nilai kerugian dalam tempoh sama RM1.164 juta,” katanya pada sidang akhbar Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) di Menara KPJ, semalam.

Kata Ramli, pembanterasan jenayah komersial dalam era kecanggihan teknologi semasa merupakan cabaran yang menuntut komitmen lebih jitu daripada  Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJK.

“Sehingga kini, ia dapat ditangani dengan baik dan telah ditunjuk melalui 10,848 kertas siasatan yang telah berjaya dituduh pada tahun ini.

“Menjelang akhir tahun 2024, dijangkakan kes-kes jenayah komersial akan terus melonjak dan akan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Kata  Ramli, trend ini adalah satu cabaran kepada PDRM untuk melipatgandakan usaha  membanteras jenayah komersial.

“Pada masa sama, PDRM juga menyeru penglibatan setiap lapisan masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing khususnya dalam usaha pencegahan jenayah komersial,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×