Kerajaan perlu beri penjelasan 10 kawasan risiko lubang benam

Kerajaan perlu beri penjelasan 10 kawasan risiko lubang benam

Laporan UTUSAN MALAYSIA 30 Ogos 2024
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi penjelasan segera berkaitan kajian 10 kawasan di sekitar ibu negara yang dikatakan beri­siko berlakunya kejadian lubang benam.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kajian sebuah universiti itu merupakan satu isu serius yang memerlukan respon segera daripada pihak kerajaan.

Katanya, penjelasan diperlukan bagi mengurangkan kebimbangan masyarakat terutamanya warga kota kerana ia berkait rapat dengan soal keselamatan terutama nyawa orang ramai.

“Menurut laporan sehingga hari ini, masyarakat Kuala Lumpur diberitahu bahawa hanya kawasan di Jalan Masjid India yang dianggap sebagai tidak  selamat dan telah dipagarkan supaya orang ramai tidak boleh masuk, itu (tindakan) bagus.

“Tetapi saya  harap pihak kerajaan akan memberi respon untuk mengurangkan  kerisauan dan kebimbangan masyarakat sebab ini soal keselamatan.

“Jadi, apabila ada laporan mengatakan banyak kawasan tidak selamat, memang orang ramai nak tahu sama ada itu benar atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, sebanyak 10 kawasan di sekitar ibu negara beri­siko untuk berlakunya kejadian lubang benam yang dibimbangi akan meragut nyawa.

Perkara ini didedahkan melalui kajian dikeluarkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bertajuk Sinkhole Susceptibility Hazard Zones Using GIS and Analytical Hierarchical Process (AHP): A Case Study of Kuala Lumpur and Ampang Jaya.

Kajian yang dijalankan pada 2017 menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Proses Analitik Hierarki (AHP) itu mendedahkan terdapat 10 kawasan yang dikategorikan dengan tiga kategori iaitu risiko rendah, risiko tinggi dan risiko sangat tinggi.

Antara kawasan yang didapati berisiko sangat tinggi adalah Kepong, Kampung Baru, Ampang dan Pandan Jaya, sementara itu kawasan berisiko tinggi pula di Pudu, Cheras serta Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kajian itu turut menamakan kawasan Ampang, Pudu, Kepong dan Kampung Baru sebagai kawasan berisiko rendah.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, biarpun kajian itu dikeluarkan universiti yang diiktiraf serta terkenal di negara ini, namun ia tetap memerlukan perhatian pihak kerajaan.

Oleh itu, katanya, keutamaan kerajaan adalah memberi respon terhadap kajian berkenaan supaya orang ramai tidak perlu risau.  UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×