SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sehingga kini menunaikan sehingga 95 peratus manifesto Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan yang ditawarkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN), setahun lalu.
Sebahagian inisiatif yang ditunaikan itu termasuk di bawah Skim Sejahtera Rakyat iaitu bantuan perkahwinan sebanyak RM500 kepada setiap seorang anak-anak Negeri Sembilan yang mendirikan rumah tangga kali pertama dan sumbangan keceriaan tahunan sebanyak RM200 kepada warga emas berusia 70 tahun ke atas.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, usaha akan dilakukan supaya kesemua inisiatif yang dijanjikan dapat disempurnakan.
“Selepas ini kami lihat semula apa yang belum dilaksanakan, tetapi saya rasa hampir semua telah dilaksanakan dan bermula sebaik sahaja kita menang (PRN),” katanya selepas Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan Siri 3 Tahun 2024 di sini, semalam.
Pada majlis itu, seramai 180 siswazah cemerlang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dengan peruntukan sebanyak RM900,000 yang disediakan pihak Yayasan Negeri Sembilan (YNS).
Selepas PRN Negeri Sembilan pada 12 Ogos tahun lalu, kerajaan negeri dibentuk dengan gabungan dua parti iaitu PH yang menang sebanyak 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan BN menang di 14 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN.
Sementara itu, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata, kerjasama antara kedua-dua parti sepanjang tempoh setahun nampak begitu baik dan keadaan itu turut membantu dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.
“Pembangunan yang berlangsung ketika ini di Negeri Sembilan juga adalah atas kerjasama baik tersebut, ia menunjukkan perpaduan dan kesungguhan kita bagi memastikan negeri ini berjaya dalam semua bidang, memang itu harapan kita,” kata beliau. – UTUSAN










