SINGAPURA: Kepaksian ASEAN (ASEAN Centrality) perlu ditekankan walaupun mana-mana negara anggota menyertai kumpulan atau organisasi lain.
Menteri Negara Kanan Singapura (Ehwal Luar), Sim Ann berkata, terdapat kumpulan yang berbeza di rantau ini dan ia adalah hak setiap negara untuk memutuskan kumpulan yang mereka ingin sertai.
“Pendirian kami (Singapura) terhadap mana-mana kumpulan ini ialah dalam konteks Asia Tenggara, kami sentiasa menekankan ASEAN Centrality, namun sedar terdapat kumpulan serantau lain dan jenis kumpulan lain selain ASEAN.
KETERANGKUMAN
“Kami berharap ini sentiasa dibentuk dengan penekanan pada keterangkuman dan tumpuan pada kerjasama menyeluruh termasuk ekonomi, tetapi juga dalam pelbagai bidang lain.
“Secara amnya, ini adalah cara kami melihat kumpulan dan ini merupakan pertimbangan penting untuk kami apabila memutuskan kumpulan yang hendak disertai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian Singapura mengenai Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) dan bagaimana Malaysia menyertai kumpulan organisasi akan memberi kesan kepada hubungan dengan republik itu.
Sim ditemui pengamal media Malaysia yang menyertai Program Lawatan Media Malaysia (MJVP) 2024 di Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura (MFA), Khamis lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilapor berkata, Malaysia sudah menghantar surat permohonan untuk menyertai blok ekonomi organisasi antara kerajaan, BRICCS.
Perdana Menteri berkata, surat permohonan itu dihantar kepada Russia selaku Pengerusi BRICS.
KERJASAMA
Dalam pada itu, Sim berkata, kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi hijau dan pendigitalan merupakan antara perkara yang dinantikan di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, tahun hadapan.
Malah, katanya, kerjasama itu juga bukan hanya perspektif Singapura, namun semua negara anggota ASEAN (AMS).
“Ini semua adalah bidang di mana semua AMS telah menyatakan minatnya dan kami mempunyai kerjasama yang baik misalnya dalam tenaga hijau. Secara amnya, trend ke arah integrasi ekonomi yang lebih besar dalam ASEAN adalah sesuatu yang kita usahakan secara kolektif.
“Ia bukan perkara yang mudah untuk dilakukan memandangkan AMS sangat pelbagai dari segi saiz dan masyarakat,
“Tetapi saya fikir hakikat bahawa kita telah kekal bersama dalam kedudukan yang stabil untuk sekian lama menggambarkan dedikasi dan kesabaran kita, serta keinginan bersama untuk melakukan sesuatu bersama-sama di antara semua negara kita,” katanya. – UTUSAN











