JAKARTA: Prabowo Subianto tidak berdepan cabaran politik sepanjang pemerintahannya bermula Oktober ini apabila bakal Presiden Indonesia itu kini memperoleh majoriti Parlimen apabila dua parti pesaingnya mengumumkan menyertai Gabungan Indonesia Maju Plus.
Penyertaan Parti Nasdem dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dalam gabungan Prabowo dan Naib Presiden terpilih, Gibran Rakabuming Raka memberikan kawalan ke atas Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) atau Parlimen sekali gus meningkatkan kepentingannya daripada 43 peratus kepada 52 peratus.
Berbanding sebelum ini, keputusan Pilihan Raya Indonesia (Pemilu) 2024 menyaksikan DPR dikuasai Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) manakala gabungan parti Prabowo berada pada kedudukan kedua.
Perkembangan itu menyaksikan gabungan disertai 12 parti antaranya Parti Gerinda diketuai Prabowo, Parti Golkar, Parti Demokrat, Parti Amanat Nasional (PAN) dan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) manakala PDIP mahu kekal menjadi pembangkang.
Namun begitu, Prabowo berdepan ujian kedua iaitu untuk melantik anggota Kabinet dengan mengambil kira sokongan parti-parti itu tanpa meminggirkan penyertaan mereka dalam merencanakan pembangunan negara yang mempunyai 275 juta penduduk itu.
Malah tindakan Presiden Indonesia, Joko Widodo melakukan rombakan Kabinet menjelang penggal berakhir Oktober ini dengan melantik beberapa orang kuat Prabowo sebagai Menteri dan Timbalan Menteri sekali gus membayangkan anggota pentadbiran akan datang.
Dalam rombakan baru-baru, Jokowi melantik dua anggota Parti Gerinda iaitu Dr. Supratman Andi Agtas dan Raka Prabowo masing-masing sebagai Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Informatika.
KEDUDUKAN MENTERI KEWANGAN
Tumpuan kini terarah kepada nasib bekas Pengarah Urusan Kumpulan Bank Dunia, Sri Mulyani Indrawati sama ada terus kekal sebagai Menteri Kewangan atau sebaliknya.
Hal ini kerana pemerhati politik melihat Sri Mulyani harus diberi peluang semula kerana rekod cemerlang membawa keluar Indonesia daripada kemelut ekonomi ketika pasca Covid-19 di samping menurunkan kadar defisit negara itu.
Namun begitu, Sri Mulyani seolah-oleh membayangkan Timbalan Menteri Kewangan, Thomas Djiwandono bakal meneruskan tugasnya di Kementerian Kewangan.
Memetik laporan Antara News, beliau memberikan bayangan tersebut ketika sidang Parlimen baru-baru ini.
“Beliau (Thomas) akan meneruskan tugas di Kementerian Kewangan,” katanya dan sekali gus memberikan isyarat khidmatnya selaku Menteri Kewangan sejak 2016 akan berakhir.
TUNAI MANIFESTO
Selain itu, menunaikan janji-janji kempen merupakan cabaran seterusnya Prabowo. Bantuan makan tengah hari dan susu percuma kepada semua pelajar sekolah di negara itu antara janji kempen ketika Pemilu 2024.
Oleh demikian rombakan Kabinet Isnin lalu, Jokowi mewujudkan Badan Gizi atau Jabatan Diet dalam rombakan Kabinet ini, yang bakal menggalas program permakanan percuma Prabowo seperti mana janji kempen pilihan raya.
Malah Prabowo berdepan tanggungjawab besar untuk meneruskan projek mega Ibu Kota Nusantara (IKN) yang kini masih proses pembinaan.
Namun beliau berjanji projek itu walaupun merupakan cetusan idea Jokowi.
Probowo akan mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 20 Oktober setelah memenangi pilihan raya dalam persaingan sengit antara dua calon lain yang kalah, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo.










